Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Tiga institusi perubatan swasta dilantik Majlis Keselamatan Negara (MKN), hari ini, bagi membantu memproses sampel ujian saringan Covid-19 yang tertunggak di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, menerusi perlantikan itu, bukan sahaja ujian atau sampel baharu kes Covid-19 dapat diselesaikan dengan segera, malah sampel tertunggak.

"Saya andaikan dalam beberapa hari ini, kita akan dapat gambaran yang tepat dalam statistik harian selepas semua sampel tertunggak ini dapat diselesaikan.

"Ini adalah usaha kita bagi memastikan statistik yang diumumkan setiap hari adalah gambaran kepada apa yang sedang berlaku," katanya pada sidang media khas perkembangan Covid-19 di Sabah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Masidi berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga akan dilaksanakan di dua lokaliti.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

"PKPD akan dilaksanakan di dua lokaliti iaitu Penjara Kepayan dan Kuarters Anggota Pegawai di Taman Mat Salleh Kampung Matambai, Kepayan bermula esok.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan lokaliti menjalani PKPD ialah sebanyak 14 lokaliti. Pengagihan bantuan bakul makanan kepada golongan sasar juga berjalan lancar, sehingga hari ini, 57,329 bakul makanan sudah diagihkan," katanya.

Hari ini, Sabah mencatatkan jumlah kes baharu sebanyak 643 kes dengan merekodkan tiga kematian.

Jumlah kumulatif kes Covid-19 yang direkodkan di Sabah adalah 8,082 kes, manakala 2,970 pesakit sudah sembuh dan 5,048 pesakit menerima rawatan dalam fasiliti kesihatan di seluruh Sabah.

Sementara itu, sebanyak 16 daerah di Sabah dikategorikan sebagai zon merah membabitkan daerah Semporna, Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan, Tawau, Tuaran, Putatan, Penampang, Tambunan, Keningau, Kunak, Papar, Ranau, Kota Belud, Beaufort dan Kudat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 8:49 PM