LORI yang hilang kawalan merempuh 11 kereta di persimpangan lampu isyarat. FOTO Ihsan Polis
LORI yang hilang kawalan merempuh 11 kereta di persimpangan lampu isyarat. FOTO Ihsan Polis
Ahmad Hasbi


Nilai: Sebuah lori yang hilang kawalan merempuh 11 kereta yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat dekat Jalan Persiaran, Bandar Baru Nilai, di sini, petang tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian 5.50 petang itu, hanya seorang pemandu mengalami kecederaan ringan pada kepala manakala 11 kereta mengalami kerosakan selain lori terbabit terbabas di bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, lori 10 tan Nissan UD yang membawa muatan kertas gulung dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun itu dalam perjalanan dari Melaka menuju ke arah Beranang, Selangor.

"Berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku apabila lori yang dipandu lelaki itu mengalami masalah brek menyebabkannya hilang kawalan lalu terbabas melanggar deretan kenderaan yang berhenti di lampu isyarat.

"Akibat kemalangan, seorang mangsa yang memandu kereta mengalami kecederaan ringan iaitu luka pada bahagian kepala.

"Bagaimanapun, pemandu lori dan pemandu kenderaan lain tidak mengalami kecederaan," katanya.

Beliau berkata, hasil keputusan ujian air kencing ke atas pemandu lori terbabit mendapati lelaki berkenaan negatif dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Fazley menasihatkan orang awam supaya memandu dalam keadaan yang selamat dan patuh kepada kelajuan yang ditetapkan terutama ketika musim perayaan Aidilfitri yang menjelang tiba.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 10:22 PM