Seorang remaja berdepan detik cemas apabila motosikal dinaikinya diseret sebuah kereta dan melanggar lampu jalan. Foto ihsan PDRM
Seorang remaja berdepan detik cemas apabila motosikal dinaikinya diseret sebuah kereta dan melanggar lampu jalan. Foto ihsan PDRM
Samadi Ahmad


Putrajaya: Seorang remaja lelaki berdepan detik cemas apabila motosikal ditunggang diseret sebuah kereta dipandu penagih dadah hingga terbabas dan melanggar tiang lampu.

Ketua Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian jam 3 petang semalam berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran Perdana/Lebuh Saujana di sini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu kereta lelaki berusia 29 tahun memandu dari arah Presint 2 menuju pulang ke rumahnya di Sungai Jarom, Selangor.

Katanya, ketika kejadian kereta itu dipandu di lorong tengah sebelum merempuh motosikal ditunggang remaja berusia 19 tahun

"Siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal dari Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPAM) Larai, Presint 6, menuju ke tempat kerja di stesen Petronas Presint 16," katanya tadi.

Asmadi berkata, hasil siasatan mendapati pemandu kereta memandu kenderaan dalam pengaruh dadah dan hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Di samping itu, katanya, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1)(a) Akta pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987 dan orang ramai yang maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi IPD Putrajaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 5:09 PM