LORI dipandu seorang lelaki positif dadah merempuh lima kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh. FOTO Ihsan Pembaca
LORI dipandu seorang lelaki positif dadah merempuh lima kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan merempuh lima kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh, di sini, hari ini, didapati positif dadah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kemalangan yang membabitkan sebuah lori serta lima kereta itu berlaku 2.40 petang tadi.

"Siasatan awal dilakukan mendapati lori berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun dari arah Jalan Duta menghala ke Sentul.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori terbabit gagal dikawal dan merempuh dengan laju lima kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sarifudin berkata, lima kenderaan berkenaan adalah dua Perodua Myvi, Proton X70, Honda HRV dan Peugeot 208 FL.

"Pemandu sebuah daripada Perodua Myvi berkenaan yang berusia 45 tahun hanya mengalami cedera ringan di bahagian muka dan mendapatkan rawatan di zon hijau Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Pemandu empat kenderaan lain dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan mereka sudah mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan pulang," katanya.

Beliau berkata, pemandu lori berkenaan juga dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan untuk siasatan lanjut.

"Hasil ujian awal alkohol dilakukan mendapati pemandu tidak dalam pengaruh alkohol.

"Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk ujian menjalani ujian saringan awal air kencing yang didapati positif dadah jenis methamphetamin dan amphetamin," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 8:39 PM