GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Zuhainy Zulkiffli


EMPAT kereta dan sebuah motosikal dirempuh lori dipandu seorang lelaki di bawah pengaruh dadah, dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor di Georgetown, malam tadi.

Dalam kejadian pada 10.30 malam itu, kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun antara yang menjadi mangsa dan mengalami retak tulang dada.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam kejadian itu, lori lima tan yang membawa muatan perabot dipandu lelaki berusia 38 tahun dan kelindan, 39, dari arah Bayan Lepas ke Gelugor.

Katanya, ketika tiba di persimpangan lampu isyarat terbabit, pemandu lori yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah masuk ke laluan bertentangan.

Beliau berkata, kenderaan itu kemudian merempuh sebuah motosikal dan empat kereta yang sedang menunggu lampu isyarat merah.

"Mangsa terdiri daripada lelaki berusia 32 tahun yang juga pemandu Volkswagen Polo serta lelaki berusia 40-an memandu Honda Jazz, masing-masing mengalami sakit badan.

"Seorang kanak-kanak perempuan yang juga penumpang Honda Jazz berusia 12 tahun retak tulang dada, manakala pemandu Mercedes berusia 56 tahun serta lelaki berusia 32 tahun yang menaiki Honda Stream tidak mengalami kecederaan.

"Polis masih lagi mengesan identiti penunggang motosikal yang dipercayai dihantar menerima rawatan di hospital swasta berhampiran sejurus kemalangan berlaku," katanya kepada NSTP, hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, pemeriksaan terhadap lori terbabit menemukan daun kering dalam paket lutsinar di atas papan pemuka (dashboard) berhampiran tempat duduk pemandu yang dipercayai dadah jenis ganja.

Turut ditemui di bahagian belakang tempat duduk penumpang ialah cecair dalam botol mineral yang dipercayai air ketum.

"Pemandu dan kelindan lori berkenaan ditahan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis ganja.

"Mereka direman selama tiga hari bermula hari ini dan kes akan siasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 4:20 PM