GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap

Kuala Pilah: Seorang suri rumah dijatuhi hukuman denda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini, tadi, kerana membuat laporan palsu.

Tertuduh, V. Janaki, 50, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Saifol Sayuti.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh memberi kenyataan palsu di balai Polis Kuala Pilah di sini, mendakwa diragut pada 11 April lalu.

Susulan itu dia dituduh mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau dengan denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya mengenakan denda RM1,800 dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 6:57 PM