ROKOK seludup dijumpai dalam satu ruangan khas bawah kaunter bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
ROKOK seludup dijumpai dalam satu ruangan khas bawah kaunter bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Oleh Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret Ipoh, Perak, Jumaat lalu menjatuhkan hukuman denda maksimum sebanyak RM36,000 dan sebulan penjara terhadap seorang lelaki warga asing selepas mengaku bersalah memiliki rokok seludup.

Majistret Suhaima Md Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ekball selepas mengaku bersalah memiliki 1,800 peket rokok seludup bernilai RM1,800 dengan nilai cukai RM19,188.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda maksimum 20 kali nilai barang atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Dalina Alias.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor, Jumaat lalu, menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap seorang peniaga selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 45 peket rokok seludup.

Majistret Mohd Hezri Shaharil menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Syaripuddin Abdullah, 57, dan turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda itu.

Mohd Syaripuddin didakwa memiliki barang larangan iaitu 45 peket rokok putih dan keretek pelbagai jenama yang bernilai RM75.36 di sebuah premis perniagaan, Pasar Mini MKK Maju, Taman Datok Kandan Baru, Batu 8, Puchong, pada jam 1.15 petang, 1 September lalu.

Barangan itu adalah dilarang pengimportannya mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda maksimum 20 kali nilai barang atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa JKDM Mohamad Syafiq Abdul Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 11:34 AM