Suraya Roslan

Putrajaya: Dua stesen minyak di Johor Bahru akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 susulan penjualan petrol bersubsidi kepada kenderaan asing dari negara jiran.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, setakat ini pihaknya menerima lima aduan berhubung isu yang sama di negeri berkenaan selepas pembukaan sempadan negara.

"Kita sedang kenal pasti dua stesen minyak di Johor dan kes masih dalam siasatan.

"Bagaimanapun, kita mengucapkan terima kasih kepada pengguna yang begitu prihatin terhadap isu subsidi ini.

"Sekiranya kuantiti RON95 digunakan pihak tak berkelayakan mungkin akan jejaskan bekalan untuk rakyat kita sendiri," katanya dalam sidang media di KPDNHEP di sini, hari ini.

Azman berkata, pihaknya sudah memantau perkara itu sejak 2018 lagi dan arahan sudah dikeluarkan kepada semua stesen minyak di kawasan sempadan Johor dengan radius 25 kilometer termasuk radius sama di sempadan Thailand supaya tidak menjual petrol RON95 kepada warga asing.

"Pada 2020 kita sudah tambah baik dengan mengeluarkan arahan sama kepada motosikal warga asing tidak mengisi petrol RON95.

"Selain itu, kita juga memperkenalkan pelekat amaran yang ditampal di stesen minyak," katanya.

Rakyat Singapura yang mengisi minyak setelah tiba di Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rakyat Singapura yang mengisi minyak setelah tiba di Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Katanya, pihaknya juga membuat lawatan mengejut melalui skuad Ronda Khas di 281 stesen minyak di sempadan.

"Perkara ini akan kami teruskan berikutan insiden ini dan kita mengarahkan pemeriksaan lebih ketat dan kerap dilaksanakan," katanya.

Katanya, pihaknya juga memberi amaran kepada semua pemilik stesen minyak supaya tidak menjual petrol bersubsidi kepada bukan warga tempatan.

"Kita tak teragak-agak untuk ambil tindakan bersesuaian dengan undang-undang. Bagaimanapun, pegawai saya masih menyiasat perkara ini dan berada pada fasa akhir siasatan," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial gambar beberapa kenderaan bernombor pendaftaran Singapura sedang mengisi petrol RON95 yang dipercayai di stesen minyak sekitar bandar raya Johor Bahru.

Ia susulan pembukaan sempadan darat Malaysia-Singapura Jumaat lalu yang membolehkan pengembara dari republik itu memasuki negara ini sama ada menerusi Tambak Johor atau SecondLink di Tanjung Kupang, Iskandar Puteri.

Sementara itu, mengulas mengenai kenaikan harga ayam, Azman berkata, jika pihak berkaitan terus berdegil dan menjual harga ayam melebihi harga siling, tindakan lebih keras termasuk pembatalan lesen akan dipertimbangkan.

"Jika kita dapati kenaikan berpunca daripada peruncit, siasatan akan membawa ke pemborong seterusnya kepada penternak.

"Disebabkan itu, kita mengambil tempoh lama untuk melengkapkan siasatan bermula daripada proses tempat pembekalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 4:38 PM