Omar Ahmad


Johor Bahru: Sebuah lagi stesen minyak di bandar raya ini disiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana menjual minyak bersubsidi kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.

Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, ia menjadikan tujuh aduan diterima KPDNHEP setakat ini berhubung kesalahan itu sejak sempadan Malaysia - Singapura dibuka Jumaat lalu.

"Kita buat pemeriksaan setiap hari di stesen minyak bagi memastikan tiada kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi RON95.

"Sehingga kini kita menerima tujuh aduan, dan daripada tujuh aduan itu tiga dalam siasatan.

"Kita akan menyiasat dengan pelbagai kaedah termasuk menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV)," katanya ketika ditemui selepas membuat pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Jalan Tampoi di sini, hari ini.

Mohd Hairul berkata, pemantauan dan pemeriksaan lebih lanjut sedang dilakukan, dan tindakan tegas akan diambil terhadap pengusaha stesen minyak jika benar bersalah.

"Kita minta kepada semua stesen minyak supaya ambil langkah pencegahan. Pastikan setiap stesen minyak ada elemen kawalan dan pemantauan sendiri.

"Sekiranya didapati ada kesalahan kami akan ambil tindakan," katanya.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Semalam, Pengarah KPDNHEP, Azman Adam mendedahkan terdapat dua stesen minyak di Johor sedang disiasat kerana didapati sengaja menjual petrol RON95 kepada beberapa buah kenderaan dengan plat pendaftaran Singapura.

Sebelum itu, tular beberapa keping aksi warga republik itu sedang mengisi minyak bersubsidi di stesen minyak di negeri ini tular dimedia sosial dan mendapat kritikan warganet.

Hairul Anuar turut memohon agar orang awam dapat menyalurkan maklumat dan aduan dengan jelas.

Katanya, ketiadaan maklumat jelas seperti lokasi dan waktu kejadian menyukarkan pihaknya untuk menjalankan siasatan terhadap pemilik stesen minyak terbabit.

"Kita minta orang awam yang membuat aduan sila kemukakan dengan jelas lokasi premis itu untuk buat siasatan lanjut.

"Petrol RON95 ini untuk rakyat tempatan. Kita sama-sama pastikan hak pengguna di Johor sentiasa dilindungi.

"Tindakan KPDNHEP hanya kepada pengusaha stesen minyak sahaja bukan kepada pemilik kenderaan, sebab itu penting pihak pengusaha perlu pastikan perkara ini tidak berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 3:04 PM