Bung Moktar Radin dalam sidang media sempena Majlis Berbuka Puasa UMNO Kinabatangan di Sandakan, malam tadi. FOTO HAZSYAH ABDUL RAHMAN
Bung Moktar Radin dalam sidang media sempena Majlis Berbuka Puasa UMNO Kinabatangan di Sandakan, malam tadi. FOTO HAZSYAH ABDUL RAHMAN
Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Sandakan: Semua kerusi tradisi ditandingi Barisan Nasional (BN) dan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 2018 akan kekal milik BN serta Umno pada PRU-15.

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ia termasuk semua kerusi tradisi Umno Sabah yang dibawa 'melompat' beberapa ahli parlimen.

Menurut Bung Moktar, ia adalah keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) dan suara ahli Umno di peringkat akar umbi.

"Ini keputusan daripada PAU yang lalu dan dikekalkan dalam PAU baru-baru ini yang mana kerusi yang Umno BN bertanding PRU-14 itu, perlu ditandingi semula oleh Umno.

"Ini bermakna termasuk kerusi yang 'lompatlah', kita tidak boleh serahkan kerusi kita kepada mana-mana pihak secara percuma begitu.

"Mungkin kita boleh berunding, tapi Umno menegaskan, itu kerusi BN dan perlu ditandingi oleh BN. Ini memang kekal sebab dia keputusan keseluruhan ahli-ahli parti di peringkat akar umbi," katanya pada sidang media Majlis Berbuka Puasa Umno Kinabatangan di Sandakan, malam tadi.

Menurut Bung Moktar, bagaimanapun, pihaknya mungkin boleh berunding tetapi menegaskan keputusan itu tetap kekal.

Terdahulu, pada Disember 2019, beberapa ahli parlimen BN keluar gabungan berkenaan termasuk beberapa ahli parlimen Umno Sabah yang mengatakan kecewa dengan Umno.

Kerusi-kerusi parlimen berkenaan kini hangat diperkatakan menjelang PRU ke-15 yang mungkin diadakan pada bila-bila masa.

Dalam pada itu, mengulas isu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang mengumumkan untuk melebarkan sayap ke Sabah, Bung Moktar berkata, negara ini adalah negara demokrasi dan pihaknya tidak akan menghalang keinginan parti terbabit.

"Saya 'welcome to' Pejuang lah…negara demokrasi, kita tidak boleh menghalang, terserah kepada Pejuang.

"Tapi, pandangan saya, di Semenanjung pun dia kalah teruk, hilang wang pertaruhan, mahu datang Sabah lagi, saya tengok rakyat Sabah pun tidak berminatlah," katanya.

Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada sidang media sebelum ini mengumumkan akan melancarkan parti itu secara rasmi di Sabah pada 22 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 1:38 PM