AHMAD Zahid bercakap pada sidang media ketika PAU 2020 di Pusat Dagangan Dunia (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ASYRAF HAMZAH
AHMAD Zahid bercakap pada sidang media ketika PAU 2020 di Pusat Dagangan Dunia (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ASYRAF HAMZAH
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 yang berakhir hari ini menuntut supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mesti diadakan selepas tempoh darurat tamat sama ada pada 1 Ogos atau tarikh sebelumnya, jika darurat ditamatkan lebih awal.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dalam masa terdekat.

Beliau berkata, perwakilan membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU-15 dan memberi kuasa kepada Presiden serta MKT membuat keputusan.

Katanya, usul kedua itu turut menyatakan bahawa Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) akan meletak jawatan sebaik Parlimen dibubarkan.

"Oleh kerana PAU adalah badan tertinggi di dalam Umno sebagaimana tercatat dalam perlembagaan yang memutuskan suatu dasar besar, maka ahli Umno termasuk kepimpinannya hendaklah mematuhi keputusan dibuat parti.

"Tidak harus ada dakwa-dakwi di luar sana bahawa Umno sedang berada di persimpangan. Keputusan dibuat hari ini adalah jelas bahawa kami mengambil keputusan besar dan dipersetujui seluruh perwakilan termasuk secara maya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan PAU 2020 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Ditanya mengenai tarikh akhir akan diberikan kepada PN untuk mengadakan PRU-15, beliau berkata, ia akan dibincangkan dalam mesyuarat MKT.

Mengenai pendirian Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa Umno dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang turut disertai Bersatu akan kekal menerajui kerajaan negeri Sabah, Zahid berkata, beliau menghormati pendirian itu.

"Situasi dan landskap politik Sabah agak istimewa kerana mereka berada di dalam sebuah gabungan besar iaitu GRS, maka apa dinyatakan Bung Mokhtar adalah sesuatu menjadi pendirian dan pegangan Umno Sabah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 9:08 PM