Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak akan mengadakan perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat bagi menentukan sama ada operasi pencarian dua mangsa tertimbus dalam runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, diteruskan atau tidak.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata, operasi berkenaan secara dasarnya masih dilaksanakan oleh pemilik kuari dalam skala kecil.

"Operasi diperlahankan, tidak lagi sehebat seperti peringkat permulaan, yang mana kita meletakkan seorang atau dua anggota setiap hari.

"Bagaimanapun perbincangan akan diadakan dengan PDRM selaku komander operasi sama ada untuk meneruskan atau menutup pencarian mangsa bagi kes berkenaan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran di Pusat Membeli-belah, Pusat Hiburan dan Tempat Tumpuan Orang Ramai sempena Musim Perayaan di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Jaafar Tajudin.

AZMI (tengah) bersama Jaafar (kiri) pada sidang media. FOTO L Manimaran
AZMI (tengah) bersama Jaafar (kiri) pada sidang media. FOTO L Manimaran

Azmi berkata, berdasarkan kepada peraturan, kemungkinan besar operasi tu ditamatkan tetapi pihak berkuasa perlu melihat pelbagai aspek terutama sudut perundangan.

"Apabila hendak mengisytiharkan kehilangan seseorang dalam sesuatu insiden, kita perlu merujuk kepada peraturan ditetapkan," katanya.

Mengenai dakwaan sesetengah pihak yang mempertikaikan kaedah teknikal operasi yang terlalu lama, beliau berkata, pasukan bukan saja bertindak bersendirian tetapi memanggil pakar dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) untuk membantu.

"Jadi kepakaran mereka diterjemahkan dalam operasi berkenaan dengan membuat ketetapan di lokasi mana yang kita jangka.

"Tetapi malangnya sehingga kini masih belum ditemukan, bukan setakat mangsa malah jentera besar jengkaut gagal ditemui," katanya.

Dalam kejadian 9.40 pagi 8 Mac lalu, dua mangsa masih tertimbus dalam runtuhan kuari di Keramat Pulai, dikenal pasti sebagai Itam Bah Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 3:43 PM