Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa tertimbus dalam insiden runtuhan kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini yang memasuki hari ketujuh hari ini sekali lagi terpaksa dihentikan seketika berikutan berlaku runtuhan kecil.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, runtuhan kecil batuan di kawasan itu dikesan kira-kira jam 10.35 pagi tadi justeru menyebabkan kerja-kerja pengalihan batu terpaksa dihentikan seketika.

"Pasukan penyelamat masih dalam skop kerja pemerhatian dan keselamatan bagi kerja pengalihan batu oleh syarikat kuari.

"Jarak laluan untuk ke lokasi tepat mangsa tertimbus dianggarkan kira-kira 20 meter untuk sampai," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Komander Operasi JBPM Perak, Aidil Adlee Che Mee dilaporkan berkata, kerja pengalihan bongkah batu untuk mengesan kedudukan dua mangsa tertimbus berkenaan dijangka selesai 70 peratus kelmarin namun ia turut bergantung kepada faktor cuaca.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi 8 Mac lalu, dua mangsa yang dipercayai masih tertimbus berkenaan dikenal pasti sebagai Itam Balasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Sebelum ini juga, runtuhan susulan kecil turut dilaporkan berlaku di kawasan kejadian antaranya pada hari ketiga operasi SAR pada 10 Mac lalu.

OPERASI SAR hari ini sekali lagi terpaksa dihentikan seketika berikutan terdapat runtuhan kecil. FOTO L Manimaran
OPERASI SAR hari ini sekali lagi terpaksa dihentikan seketika berikutan terdapat runtuhan kecil. FOTO L Manimaran

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 12:28 PM