Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak akan mengambil tindakan ke atas pihak yang bertanggungjawab berhubung insiden runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai sekiranya terdapat pelanggaran Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Pengarahnya, Supian Alias berkata, pihaknya sudah mengarahkan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan ke atas kejadian berkenaan.

"JKKP akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti sebarang pelanggaran undang-undang dan elemen lain yang menjadi punca kepada kemalangan ini selepas operasi mencari dan menyelamat selesai dijalankan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Supian berkata, mengikut akta berkenaan adalah menjadi kewajipan setiap majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya mahupun orang awam di tempat kerja di bawah kawalannya.

"Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

"Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan," katanya.

Katanya, kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

Terdahulu media melaporkan operasi mencari dua mangsa yang tertimbus pada kedalaman 10 hingga 12 meter di bawah runtuhan itu sedang giat dilakukan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman dilaporkan berkata, kedudukan kedua-dua mangsa juga dipercayai berada berhampiran antara satu sama lain.

Sidang Media oleh  Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman. FOTO  L.MANIMARAN
Sidang Media oleh Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman. FOTO L.MANIMARAN

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 6:31 PM