FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Omar Ahmad


Kota Tinggi: Polis percaya suspek kes tetak empat sekeluarga ketika menunggu waktu berbuka puasa di Kampung Sedili Kecil, Kuala Sedili dekat sini, Khamis lalu, masih berada di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, sehubungan itu pihaknya kini giat mengesan suspek yang juga pekerja ladang nanas itu.

"Mungkin dia masih ada di Johor sedang bersembunyi. Insha-Allah jika ada tangkapan kami akan maklumkan," katanya ringkas ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, Hussin dalam satu kenyataan media berkata kejadian berlaku pada jam 7.11 malam ketika empat beranak itu menunggu waktu berbuka puasa.

Suspek dikatakan tiba-tiba mengamuk sebelum menetak isterinya berusia dalam 30-an, ibu mentua dalam 50-an, serta dua adik iparnya masing-masing lelaki berusia 16 tahun dan perempuan berusia 30-an menggunakan parang.

Semua mangsa yang parah dihantar ke Hospital Kota Tinggi bagi rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil.

Manakala dua anak suspek berusia lima dan dua bulan selamat dalam kejadian itu.

"Punca kejadian belum diketahui dan polis giat menyiasat motif serangan.

"Polis giat mengesan suspek, Mohd Adi Hashim, 38, beralamat di Felda Air Tawar 3, bagi membantu siasatan.

"Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nurul Syafiqah Khalid di talian 019-5121568 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di talian 07-8831222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Sementara itu, usaha menemubual mangsa gagal kerana mangsa tidak mahu ditemubual.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 3:25 PM