LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Polis menahan dua lelaki tempatan selepas disyaki terbabit dalam insiden merusuh ketika acara Desaru International Bike Week (DIBW) 2023 di Pantai Awam Desaru, Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dua lelaki berusia 30 dan 50 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kejadian yang tular di media sosial itu.

"Kira-kira 1.15 pagi tadi (hari ini), kita mengesan satu video tular membabitkan kejadian merusuh menggunakan senjata kayu dan kerusi plastik.

"Kita membuka kertas siasatan dan sedang mengenal pasti individu yang terbabit dalam kejadian merusuh itu.

"Setakat ini, kita sudah menahan dua lelaki tempatan, seorang di Kota Tinggi dan seorang di Johor Bahru, bagi membantu siasatan," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati punca kekecohan itu adalah akibat salah faham antara dua kumpulan peserta acara dipercayai tempatan dan antarabangsa yang membawa kepada kejadian cabar-mencabar dan provokasi.

"Acara ini mendapat sambutan daripada pelbagai masyarakat yang membawa motosikal masuk ke kawasan itu untuk menjalankan aktiviti yang diatur.

"Bagaimanapun, berlaku salah faham antara satu kumpulan dengan kumpulan lain. Antara yang terbabit adalah warga tempatan dan juga kumpulan motosikal dari Amerika Syarikat (USA)," katanya.

Katanya, sepanjang penganjuran acara itu selama tiga hari, seramai 350 anggota polis ditugaskan dan ketika insiden kekecohan itu berlaku kira-kira jam 9 malam semalam, ia berjaya dikawal oleh anggota polis bertugas.

"Pihak polis berjaya menyuraikan semua peserta daripada insiden yang berlaku," katanya.

Kamarul Zaman berkata, terdapat beberapa individu dilaporkan cedera ringan termasuk dua yang ditahan.

"Seorang daripada suspek yang ditahan mendapat empat jahitan di kepala akibat insiden berkenaan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun dan dua suspek akan direman.

"Kita masih mengesan beberapa lagi individu yang terbabit dan polis ingin menyeru mereka yang terbabit untuk menyerah diri bagi membantu siasatan atau kita akan kesan dan tahan mereka," katanya.

Pada masa sama, Kamarul Zaman berkata, siasatan yang telus tanpa kompromi diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di talian 07-8831222 atau Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Ng Han Shoong di talian 016-5488810 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, beberapa video tular di media sosial antaranya salah satu video berdurasi 4 minit 25 saat yang memaparkan kejadian pada sebelah petang membabitkan pergaduhan mulut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 6:32 PM