SEORANG wanita berusia 50-an cedera dilibas parang seorang lelaki bertopeng di Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi, semalam. FOTO fb
SEORANG wanita berusia 50-an cedera dilibas parang seorang lelaki bertopeng di Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi, semalam. FOTO fb
Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: Seorang wanita cedera di dagu selepas dilibas dengan parang oleh lelaki bertopeng yang memecah masuk kediamannya di Felda Air Tawar 4 di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata, kejadian 12.50 tengah hari itu membabitkan mangsa yang berusia 50-an yang bersendirian di rumah.

"Suspek yang bertopeng serta berparang menceroboh kediaman itu sebelum cuba menekup mangsa yang sedang tidur di bilik.

"Berlaku pergelutan sebelum mangsa terjatuh di lantai. Suspek melibas parang dan mengenai dagu mangsa," katanya.

Menurut beliau, suspek sempat merentap seutas rantai tangan emas yang dipakai mangsa bernilai kira-kira RM3,000 sebelum melarikan diri.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Esmal Fhahmie Abd Malek di talian 017-7183778 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di talian 07-8831222.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 2:12 PM