GAMBAR hiasan. Pemandangan di Jakarta. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. Pemandangan di Jakarta. FOTO AFP
BERNAMA

Jakarta: Kedutaan Malaysia di Kuningan di sini menyediakan talian bantuan konsular 24 jam untuk individu yang memerlukan, kata kuasa usaha Adlan Mohd Shaffieq.

Pengenalan talian itu seiring dengan trend perjalanan rentas sempadan yang terus berubah akibat pandemik Covid-19 serta komitmen berterusan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan.

"Beberapa perkara yang telah kita lakukan antara lain ialah menambah baik perkhidmatan telefon, kita ada talian duty officer 24 jam.

"Ini memudahkan bukan sahaja warga Malaysia tetapi juga rakyat Indonesia yang inginkan perkhidmatan konsular," kata Adlan di majlis berbuka puasa dan solat terawih di kedutaan di sini, malam tadi.

Talian kecemasan selepas waktu pejabat di kedutaan adalah +62 813 8081 3036.

Terdahulu, seramai 200 rakyat Malaysia hadir pada majlis yang kali pertama diadakan sejak dua tahun susulan pandemik Covid-19.

"Pada masa akan datang kita akan lihat program-program yang boleh dilakukan bersama-sama warga Malaysia di Jakarta, disebabkan suasana mulai berubah dari fasa pandemik ke endemik," kata Adlan.

Selain menceriakan Ramadan, majlis bertujuan mengeratkan kembali silaturrahim dan rata-rata yang hadir menzahirkan rasa syukur serta merakamkan ucapan penghargaan.

"Terima kasih kerana sudi mengundang saya dan keluarga, gembira dapat bertemu lagi dalam suasana begini," kata Ikhwan Fadhli yang bertugas sebagai pengarah operasi PT Errita Pharma di Bandung.

Pengarah jualan dan pemasaran PT Prima Agro Mandiri, Azry Jamlus pula berkata ini membuktikan kedutaan prihatin terhadap rakyat Malaysia dan dapat mengenali pegawai-pegawai baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 1:51 PM