Allahyarhamah Kamsiah Kamarudin
Allahyarhamah Kamsiah Kamarudin
BERNAMA

Jakarta: Wakil Tetap Malaysia ke Asean Kamsiah Kamaruddin meninggal dunia di Hospital Siloam Semanggi, Jakarta, pada 7 malam (waktu tempatan).

Punca kematian adalah disebabkan oleh denggi dan komplikasi kesihatan, menurut Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia Adlan Mohd Shaffieq.

Kamsiah, 54, pernah menjadi Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura.

Allahyarhamah juga merupakan Wakil Malaysia ke Majlis Pentadbiran Institut Keamanan dan Rekonsiliasi Asean (ASEAN-IPR).

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menzahirkan rasa sedih dan pilu dengan perkhabaran duka itu.

"Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang dikasihiNya, dan didoakan keluarga tabah menghadapi cabaran ini. Al-Fatihah," katanya menerusi hantaran di Twitter beliau malam ini.

Beliau berkata, Allahyarhamah berkhidmat di Wisma Putra sejak 1992 dan pernah bertugas di Thailand serta Singapura.

Allahyarhamah merupakan isteri kepada Duta Besar Malaysia ke Filipina Norman Muhamad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 12:14 AM