ZALINDA Zainal memilih pakaian anaknya pada program Belanja Raya Bersama Asnaf 2022. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ZALINDA Zainal memilih pakaian anaknya pada program Belanja Raya Bersama Asnaf 2022. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Sedih apabila ada anak (yang masih kecil) bertanya mengenai papanya (bapa) setiap hari, mereka tidak memahami arwah sebenarnya sudah tiada," kata ibu tunggal, Zalinda Zainal, 34.

Zalinda mengakui lima anaknya yang berusia berusia setahun hingga 11 tahun merindui bapa mereka, Mohd Norhairullah Abu Bakar, 34, yang dijemput Ilahi 29 Januari lalu.

Katanya, kehilangan arwah suaminya itu kian dirasai mereka anak beranak, apatah lagi ketika ini Ramadan dan bakal meraikan Aidilfitri.

"Arwah (suami) sebelum ini bekerja di Singapura namun kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19. Suami kemudian melakukan kerja mengambil upah mengangkat barang di Flat Jasa Mutiara Rini (di sini).

"Suami meninggal dunia ketika di tempat kerja tiga bulan lalu, suami mengadu sakit dada ketika itu sebelum rebah dan menghembuskan nafas terakhir," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Zalinda ditemui ketika program Belanja Raya Bersama Asnaf 2022 di pasar raya Mydin Cawangan Mutiara Rini, di sini, Selasa lalu.

Zalinda berkata, selepas kematian suami, dia yang juga suri rumah kehilangan punca pendapatan.

Katanya, permohonannya mendapatkan pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) juga gagal kerana suaminya sebagai orang berinsurans tidak memiliki caruman mencukupi.

"Buat masa ini saya hanya dapat bekerja dari rumah kerana perlu menjaga anak kecil. Saya menjual mi sup mengikut tempahan harian selain menghantar kuih ke gerai bagi mendapatkan wang.

"Saya tidak menafikan terpaksa bergantung kepada duit yang dikeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain turut dibantu kenalan serta ahli keluarga," katanya.

Zalinda berkata, dia dan anak-anaknya juga hanya makan ala kadar dan berjimat, kadang-kala hanya memakan nasi berlaukkan telur dan kicap.

Menurutnya, dia juga menanggung sewa rumah RM350 sebulan serta perbelanjaan persekolahan anak.

"Saya amat bersyukur kerana Maij (Majlis Agama Islam Johor) menguruskan permohonan bantuan sara hidup asnaf sebanyak RM500 sebulan, selain sebelum ini turut menghulurkan bantuan segera.

"Memang tahun ini saya tidak merancang untuk menyambut Aidilfitri namun bersyukur Maij memberi peluang kepada anak untuk membeli baju raya.

"Sekurang-kurangnya anak lebih ceria dan ia dapat mengisi kesunyian mereka tanpa arwah bapa pada tahun ini apabila dapat keluar membeli-belah," katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Zalinda di talian 018-7910615.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 12:48 PM