Wakil Jejak Asnaf MAIJ menyampaikan sumbangan kepada tukang jahit kasut jalanan, Mohammad Khairul Nizam Mohd Tamyis di Ibu Pejabat MAIJ di sini hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Wakil Jejak Asnaf MAIJ menyampaikan sumbangan kepada tukang jahit kasut jalanan, Mohammad Khairul Nizam Mohd Tamyis di Ibu Pejabat MAIJ di sini hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Buat masa ini saya tak dapat terima tawaran itu kerana bimbang kehilangan pelanggan," kata Mohammad Khairul Nizam Mohd Tamyis, 24, tukang kasut yang tular di media sosial kerana membawa empat anak ketika bekerja.

Menurut Mohammad Khairul, selepas kisahnya tular dan mendapat liputan akhbar ini, dia dikunjungi wakil Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) yang menyatakan hasrat mahu membantu termasuk memindahkan operasinya ke premis lebih selesa.

"Hari ini tidak dapat dilupakan kerana saya dicadangkan beroperasi di premis yang lebih selesa namun saya terpaksa menolak secara baik kerana khuatir kehilangan pelanggan sekiranya berpindah.

"Namun saya tidak dapat menerima tawaran itu kerana berdepan dengan risiko kehilangan pelanggan hingga menjejaskan sumber pendapatan.

"Walaupun memang bercita-cita mahu mengembangkan perniagaan dalam tempoh beberapa tahun lagi, buat masa ini saya bergantung kepada pelanggan kebanyakannya pelanggan bank dan mereka mudah untuk berurusan dengan saya kerana saya beroperasi di kaki lima," katanya.

Mohammad Khairul bagaimanapun berharap MAIJ mempertimbangkan permohonan bantuan sara hidup bulanan bagi keluarganya.

"Walaupun dibantu, saya tetap akan bekerja demi anak selain minat dalam kemahiran menjahit kasut ini," katanya.

Mohammad Khairul turut menerima bantuan segera yang diserahkan oleh Wakil Jejak Asnaf MAIJ, Mohd Nasir Ishak di Ibu Pejabat MAIJ di sini hari ini.

Mohd Nasir berkata, pihaknya mencadangkan lelaki berkenaan untuk ditempatkan di premis yang lebih selesa namun ia didapati tidak sesuai buat masa kini.

"Bagaimanapun kami mencadangkannya memohon bantuan sara hidup demi ahli keluarga," katanya.

Terdahulu akhbar ini mendedahkan kisah seorang bapa yang gigih memberi penjagaan kepada anak ketika bekerja sebagai tukang jahit kasut di hadapan sebuah bank di Jalan Dedap, Taman Johor Jaya di sini.

Mohammad Khairul Nizam yang bergelar duda memiliki empat cahaya mata berusia antara setahun sehingga lapan tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 2:44 PM