Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Selepas dua tahun tanpa pakaian baru untuk menyambut Aidilfitri, hari ini saat paling menggembirakan bagi anak kerana dapat memilih sendiri baju baru untuk dipakai ketika raya nanti.

"Alhamdulillah, tahun ini anak dapat beraya dengan baju baru berbanding sebelum ini hanya mengenakan pakaian lama," kata bapa kepada tujuh anak, Mohaiden A Rahman, 46.

Mohaiden yang tinggal di Rumah Pangsa Taman Ehsan Jaya di sini berkata, panggilan telefon daripada pihak Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), membuatkan anak teruja dan tidak sabar pergi ke Pasaraya Mydin di Taman Mutiara Rini untuk membeli-belah.

Menurutnya, akhirnya tercapai juga hasrat anaknya yang terlalu ingin memiliki sepasang baju baharu selepas dua tahun.

Katanya, dalam tempoh bermula fasa pandemik, dia pernah kehilangan kerja bagi tempoh tertentu sebelum bekerja sebagai pengawal keselamatan bagi menyara keluarga manakala isterinya, Zabedah Samsudin, 36, adalah suri rumah.

ANTARA pengunjung yang memilih dan mencuba pakaian sebagai persiapan awal menyambut Hari Raya Aidilfitri di Pasaraya Mydin Cawangan Mutiara Rini, Johor.  FOTO Nur Aisyah Mazalan
ANTARA pengunjung yang memilih dan mencuba pakaian sebagai persiapan awal menyambut Hari Raya Aidilfitri di Pasaraya Mydin Cawangan Mutiara Rini, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Kami memiliki tujuh anak berusia antara setahun hingga 13 tahun dan kerana tiada bajet, mereka hanya menggunakan baju lama ketika beraya.

"Bagaimanapun saya bersyukur kerana mereka tidak pernah mengeluh termasuk dalam soal menu berbuka puasa mahupun bersahur.

"Kadang-kala kami hanya makan nasi bersama telur dan kicap dan hanya sesekali membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan berhampiran," katanya.

Mohaiden berkata, dia tidak menafikan keluarganya juga kerap mendapatkan bekalan makanan di gerobok rezeki di masjid berhampiran bagi menampung keperluan keluarga pada Ramadan ini.

"Selain bekerja sebagai pengawal keselamatan, saya juga mengambil upah pelbagai kerja termasuk mengecat bangunan sekiranya ada permintaan selain turut menerima bantuan sara hidup bulanan sejumlah RM400 daripada MAIJ.

"Alhamdulillah saya bersyukur dapat meraikan Aidilfitri dalam keadaan sederhana pada tahun ini," katanya ketika ditemui.

Keluarga Mohaiden antara yang terpilih menerusi Program Belanja Raya Bersama Asnaf 2022.

Program berkenaan memperuntukkan sejumlah RM220,000 dan mensasarkan seramai 1100 asnaf.

Majlis pelancaran program disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid.

Ia bertujuan memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri dalam kalangan golongan kurang berkemampuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 5:04 PM