MOHD Nasir menyampaikan sumbangan zakat kepada Siti Mariam. FOTO Mary Victoria Dass
MOHD Nasir menyampaikan sumbangan zakat kepada Siti Mariam. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Biarpun diuji dengan pelbagai dugaan, ibu tunggal Siti Mariam Rayin Kutty, 45, tidak pernah berputus asa membesarkan tiga cahaya mata dan seorang kakak orang kurang upaya (OKU).

Balu bekas anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan itu berkata, selepas kehilangan suami tercinta, Zainudin Hussin 12 tahun lalu yang meninggal dunia akibat masalah jantung, dia memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga terutama bagi membesarkan anaknya.

Menurutnya, dia bekerja sebagai guru tuisyen turut menjalankan perniagaan secara cash on delivery (COD), menjadi pemandu e-hailing dan mengambil tempahan katering serta melakukan beberapa kerja sambilan lain demi menambah pendapatan keluarga.

Katanya, bagaimanapun dia tidak terkecuali dengan ujian Allah apabila diduga dengan masalah kesihatan sejak 2017 hingga kini.

"Saya diduga bertubi-tubi termasuk dijangkiti virus tikus pada 2017, diikuti denggi berdarah, ketumbuhan di tapak tangan, ketulan di payu dara dan bagi setiap penyakit berkenaan, saya pernah dirawat di hospital selain turut menjalani beberapa pembedahan.

"Ketika saya mahu kembali aktif untuk bekerja sambilan demi menyara anak dan kakak, doktor mengesan fibroid sebesar 14 sentimeter di rahim saya pada 2020 dan sehingga kini saya masih tidak berpeluang untuk menjalani pembedahan kerana kekurangan dana.

"Saya bersyukur kerana permohonan bagi mendapatkan sumbangan zakat sejumlah RM25,000 diluluskan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ)," katanya yang tinggal di Puteri Wangsa di sini.

Siti Mariam berkata demikian ketika menerima sumbangan zakat yang disampaikan oleh Wakil Jejak Asnaf MAIJ, Mohd Nasir Ishak di Pusat Islam Iskandar Johor di sini hari ini.

Siti Mariam berkata, dia akan menjalani pembedahan pada hujung minggu ini di sebuah hospital pakar di Masai di sini dan berharap diberi kesembuhan bagi membolehkannya untuk meneruskan kelangsungan hidup termasuk menyara anak serta pengajian dan persekolahan mereka.

"Anak saya berusia antara 16 hingga 19 tahun, malah saya juga menanggung kakak OKU yang mengalami masalah keradangan saraf kaki hingga sukar bergerak.

"Buat masa ini, kami bergantung kepada wang pencen arwah suami selain pendapatan anak sulung yang bekerja sambilan di sebuah pasar raya berhampiran.

"Saya bersyukur kerana memiliki ahli keluarga, jiran dan kenalan yang penyayang dan sentiasa mengambil berat berkaitan keluarga saya.

"Setiap kali berdepan ujian Allah, saya hanya berpegang kepada pesanan arwah ibu supaya tabah dengan cabaran dan berbuat baik kepada semua," katanya ketika ditemui.

Mohd Nasir berkata, pihaknya berharap ibu tunggal berkenaan tabah dengan dugaan dialami.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Siti Mariam boleh menghubunginya talian 014-261 8522.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 7:15 PM