FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Suzalina Halid


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil saksi lain membabitkan tiga agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Khamis depan bagi memberikan penjelasan berhubung isu pembangunan dan perolehan aplikasi MySejahtera.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, PAC berpendapat wujud keperluan untuk memanggil saksi lain bagi memberikan keterangan lanjut selepas sesi bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin diadakan hari ini.

"Tiga agensi terbabit ialah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) serta Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa)," katanya dalam kenyataan, di sini.

Pada masa sama, Kah Woh berkata, pada prosiding hari ini, PAC memfokuskan kepada lima aspek iaitu pemberian kontrak pembangunan aplikasi MySejahtera kepada syarikat KPI Soft Sdn Bhd pada April 2020.

Selain itu katanya, prosiding turut memfokuskan kepada pemberian kontrak secara rundingan terus kepada syarikat MySJ Sdn Bhd oleh kerajaan pada November 2021 serta status rundingan kerajaan dengan syarikat berkenaan.

"Turut menjadi fokus ialah pemilikan aplikasi MySejahtera termasuk modul aplikasi, kod sumber aplikasi, harta intelek dan pangkalan data.

"Komitmen kerajaan untuk melindungi data-data peribadi rakyat dalam aplikasi MySejahtera dan entiti syarikat terbabit dalam aplikasi MySejahtera iaitu MySJ Sdn Bhd, KPI Soft Sdn Bhd dan entiti syarikat lain dalam pertikaian kes antara pemegang saham MySJ Sdn Bhd di mahkamah," katanya.

Terdahulu, beliau berkata, dalam prosiding yang berlangsung selama tiga jam bermula 10 pagi tadi, turut hadir adalah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Harjeet Singh a/l Hardeev Singh serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, prosiding itu diadakan dengan menggunakan punca kuasa PAC mengikut Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) dan 77(5) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMDR) serta Seksyen III, Perkara 11 (b), Pekeliling Am No 2 (1982).

Sebelum ini, PAC mendedahkan aplikasi MySejahtera yang awalnya bertujuan memudahkan proses pengesanan kontak rapat, dibangunkan tanpa kontrak antara kerajaan dan syarikat yang membangunkan aplikasi itu.

Jawatankuasa itu turut mempersoalkan pengambilalihan aplikasi MySejahtera oleh MySJ daripada KPISoft yang kini dikenali sebagai Entomo Malaysia.

Kah Woh sebelum ini dilaporkan berkata, pada 21 September tahun lalu, kerajaan menerusi jawapan di Dewan Rakyat antara lain menyatakan aplikasi MySejahtera bermula sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan tempoh setahun itu berakhir pada 31 Mac lalu.

Susulan berakhirnya tempoh itu, kerajaan memutuskan membuat pembayaran untuk penggunaan aplikasi terbabit bermula 1 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 6:33 PM