KKM komited menjadikan aplikasi MySejahtera sebagai alat pengurusan kesihatan awam negara selaras dengan pelan pendigitalan perkhidmatan kesihatan. FOTO Arkib NSTP
KKM komited menjadikan aplikasi MySejahtera sebagai alat pengurusan kesihatan awam negara selaras dengan pelan pendigitalan perkhidmatan kesihatan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan berhasrat untuk menjadikan aplikasi MySejahtera sebagai alat pengurusan kesihatan awam negara atau digital public health super apps, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.

Lukanisman berkata, ia akan dijadikan sebagai satu data raya dengan semua maklumat berkenaan kesihatan digunakan untuk panduan dalam menentukan hala tuju kesihatan negara merangkumi aspek penyediaan bajet, perkhidmatan kesihatan terbaik dan memudahkan rakyat.

"Bagi pembayaran (kos perolehan MySejahtera) atau jumlah yang dipersetujui kerajaan melalui siling ditetapkan Kementerian Kewangan pula adalah sejumlah RM160 juta," katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang antaranya ingin tahu hala tuju aplikasi itu dan sama ada kerajaan akan melanjutkan tempoh kontrak perolehan aplikasi itu serta jumlah dibayar bagi perolehan aplikasi itu.

Selain itu, katanya antara halu tuju lain yang sedang dirancang termasuk menggunakan data yang pada aplikasi itu ditambah maklumat yang diperoleh daripada Kementerian Kesihatan untuk mengenalpasti golongan yang layak untuk menerima inisiatif Skim Perubatan Madani yang diumumkan dalam Belanjawan 2023.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang bertanyakan sama ada kerajaan akan menggunakan aplikasi MySejahtera itu dalam menyediakan perkhidmatan Skim Perubatan Madani.

Sementara itu, menjawab soalan asal Dr Yii yang ingin tahu pelan KKM dalam mengoptimumkan penggunaan MySejahtera, Lukanisman berkata, KKM komited menjadikan aplikasi MySejahtera sebagai alat pengurusan kesihatan awam negara selaras dengan pelan pendigitalan perkhidmatan kesihatan.

Beliau berkata, aplikasi berkenaan akan berfungsi membabitkan survelan penyakit berjangkit seperti tibi, denggi, demam campak, penyakit anjing gila dan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

"Selain itu, rekod vaksinasi di bawah Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia; rekod saringan penyakit tidak berjangkit kepada individu berumur 40 tahun dan ke atas di bawah inisiatif saringan kesihatan kebangsaan.

"Pendaftaran ikrar derma organ; rekod penamaan darah dan tempahan janji temu untuk saringan kesihatan," katanya.

Mengenai perincian hasil rundingan kementerian dengan Syarikat MySJ Sdn Bhd, Lukanisman berkata, KKM dan syarikat berkenaan sudah mencapai beberapa persetujuan antaranya kontrak bagi perolehan pengurusan aplikasi itu secara rundingan terus adalah bagi tempoh bermula 1 April 2021 hingga 31 Mac ini.

"Hak milik aplikasi dan data MySejahtera meliputi hak harta intelek, kod sumber bagi modul yang telah dibangunkan serta data, jenama dan logo adalah milik kerajaan.

"Kerajaan mempunyai hak penuh ke atas penggunaan platform Mysejahtera melalui lesen kekal tanpa sebarang kos walaupun kontrak tidak dilanjutkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 2:12 PM