Situasi di sekitar Dewan Negara ketika sesi undi belah bahagi bagi penggulungan perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Situasi di sekitar Dewan Negara ketika sesi undi belah bahagi bagi penggulungan perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Rohaniza Idris dan Ahmad Suhael Adnan

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menjelaskan kepada rakyat dakwaan yang menyatakan pengendali aplikasi MySejahtera kini tidak lagi dikendalikan warganegara, sebaliknya syarikat dari Singapura.

Senator Muhamad Zahid Md Arip berkata, penjelasan KKM penting kerana aplikasi MySejahtera membabitkan kerahsiaan keselamatan data peribadi rakyat.

"Ada yang mengatakan, ada orang buat duit dengan MySejahtera. Ada yang membangkitkan kenapa 'server' MySejahtera ini berada dan berpangkalan di Singapura? Kenapa Singapura? Kenapa tidak manfaatkan Cyberjaya?

"Ada yang mempersoalkan mengapa ada orang asing dalam aplikasi MySejahtera? Sudah hilangkah cerdik pandai dari kalangan kita rakyat Malaysia? Persoalannya mengapa kita tidak manfaat kemudahan Koridor Raya Multimedia (MSC)," katanya ketika membentangkan usul itu di Dewan Negara hari ini

Muhamad Zahid berkata, kontroversi keselamatan data peribadi rakyat Malaysia dalam aplikasi MySejahtera perlu dibahaskan susulan langkah kerajaan memilih sebuah syarikat swasta iaitu MySJ Sdn Bhd, untuk meneruskan pengurusan aplikasi MySejahtera.

Katanya, difahamkan beberapa individu penting di dalam syarikat swasta itu mempunyai hubungan serta kaitan secara langsung dengan Kpisoft (M) Sdn Bhd, iaitu syarikat yang membangunkan aplikasi MySejahtera.

"Usul ini juga adalah usul yang berkehendak disegerakan kerana wujud kekhuatiran dalam kalangan rakyat bahawa kemungkinan data-data peribadi mereka boleh disalahgunakan dan jika itu berlaku, ia hanya mencetuskan kemarahan rakyat kepada kerajaan.

"Selain itu, usul yang saya kemukakan ini juga membabitkan kepentingan orang ramai yang memerlukan penjelasan segera secara terperinci oleh KKM memandangkan MySejahtera adalah aplikasi tunggal yang diwajibkan penggunaannya ke atas rakyat.

"Sebarang kegagalan untuk kerajaan tampil menjawab persepsi, dakwaan serta tuduhan mengenai kontroversi MySejahtera ini hanya akan memberi mesej yang salah kepada rakyat dan akan merencat serta mencacatkan usaha memerangi pendemik Covid-19," katanya.

Sementara itu, Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mencadangkan supaya data membabitkan kira-kira 38 juta pengguna MySejahtera dihapuskan selepas pandemik Covid-19 berjaya dikawal dan negara beralih sepenuhnya ke fasa endemik.

Katanya, kerajaan perlu mengehadkan tempoh simpanan data pengguna dalam aplikasi itu untuk tempoh tertentu, sebelum ia dihapuskan sepenuhnya.

Katanya, langkah itu bagi memastikan data berkenaan khusus digunakan untuk kawalan Covid-19 semata-mata dan mengatasi risiko kecurian data peribadi pengguna rakyat Malaysia.

"Adakah data itu akan dipadam atau dihapuskan selepas tempoh tertentu seperti dalam tempoh enam bulan lagi? Mungkin Kementerian Kesihatan (KKM) kata tiada masalah untuk simpan data ini, tapi bagaimana jika ada pihak menggodam pangkalan data?

"Merujuk pada instrumen kawal selia kewangan seperti yang diamalkan negara zon ekonomi Eropah serta United Kingdom, sesebuah rekod data yang disimpan adalah maksimum tujuh tahun sahaja dan selepas itu ia perlu dihapuskan.

"Adakah KKM bersetuju untuk data ini dihapuskan dan berapa lama tempoh penyimpanan rekod MySejahtera sebelum dihapuskan? Saya cadangkan dalam kadar segera selepas fasa transisi endemik mencapai tahap memuaskan," katanya ketika membahaskan usul itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 6:28 PM