Khairy Jamaluddin (kiri) melakukan lawatan ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk mendengar taklimat dan melawat tapak pembinaan bangunan tambahan HPD hari ini. Foto Bernama
Khairy Jamaluddin (kiri) melakukan lawatan ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk mendengar taklimat dan melawat tapak pembinaan bangunan tambahan HPD hari ini. Foto Bernama
Ahmad Hasbi

Port Dickson: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin meminta Yang Dipertua Dewan Negara membenarkan usul mengenai isu MySejahtera dibahas dalam sidang Dewan Negara pada Khamis ini.

Menurutnya, ia adalah susulan banyak pertikaian mengenai aplikasi berkenaan ditimbulkan dan boleh menimbulkan salah faham.

"Saya minta Yang Dipertua Dewan Negara benarkan satu usul berkenaan MySejahtera untuk dibahas Khamis ini yang akan dijawab oleh saya.

"Tiada apa-apa yang saya mahu sembunyikan. Mungkin mereka yang tak tahu tentang benda ini dan tak baca sepenuhnya isu itu terus bangkitkannya," katanya ketika ditemui media selepas lawatan kerja di Hospital Port Dickson di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan yang meminta kerajaan menjelaskan dakwaan penglibatan MySJ Sdn Bhd dalam pengambilalihan aplikasi MySejahtera.

Khairy berkata, memahami kebimbangan masyarakat yang data peribadi mereka disalah guna, beliau berpandangan lebih baik ia dijawab dalam sidang Dewan Negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelantikan syarikat Kpisoft (M) Sdn Bhd untuk menguruskan aplikasi MySejahtera dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada awal pandemik lagi.

"Saya difahamkan yang MKN jemput beberapa syarikat untuk buat pembentangan. MKN pilih syarikat Kpisoft yang dijenamakan sebagai Entomo Malaysia Sdn Bhd yang kemudiannya memberi lesen kepada MySJ Sdn Bhd.

"Jadi kita sudah berunding dengan syarikat yang beri perkhidmatan sejak awal lagi kerana mereka yang membangunkan platform itu," katanya.

Khairy berkata, berkenaan dengan pelantikan syarikat itu ia dalam proses untuk dijadikan sebagai kontrak rasmi.

Mengulas mengenai status lengkap vaksinasi penerima vaksin Sinovac yang akan tamat 1 April ini, Khairi berkata, tiada lanjutan akan diberikan, namun akan membuat beberapa pindaan prosedur operasi standard (SOP).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 5:17 PM