Nazdy Harun


Kuala Terengganu: "Saya terpaksa mengehadkan hanya 300 roti untuk syawarma pada tahun ini selain tidak membuka jualan secara 'walk in' bagi mengelak pelanggan terpaksa menunggu lama," kata peniaga syawarma Che Rosdi Mohd, 57.

Menurutnya, kekangan masa untuk menyiapkan hidangan berikutan daging dan ayam perlu dibakar serta dipotong sedikit demi sedikit mengakibatkan jualannya perlu dihadkan.

Katanya, selain itu hanya tiga menu dijual pada Ramadan ini, namun sambutannya amat menggalakkan.

"Hanya tiga hidangan iaitu diet ayam, daging; papajohn ayam, daging dan sukway ayam serta daging disediakan untuk pelanggan.

"Saya membuka tempahan dari 9 pagi hingga 12 tengah hari saja dan pembelian secara walk in tidak disediakan berikutan kekangan masa dan tenaga kerja," katanya yang berpengalaman berniaga syawarma sejak 30 tahun lalu.

Menurutnya, dia turut dibantu isterinya Norlela Yusof, 51, serta dua anaknya berusia 26 dan 28 tahun selain dua pekerja.

Katanya, syawarma yang dijualnya mula dikenali ramai sejak negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu dengan berniaga di hadapan rumah.

"Saya menggunakan kira-kira 20 kilogram (kg) ayam dan 40 kg daging yang diperap dengan resepi tersendiri bagi membangkitkan aroma syawarma itu.

"Permintaan pada Ramadan ini meningkat tiga hingga empat kali ganda dan saya perlu melipatgandakan usaha untuk memenuhi permintaan pelanggan," katanya.

Menceritakan pengalaman terbabit dengan dunia hidangan ala Timur Tengah, Rosdi berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai tukang emas dan beralih ke bidang makanan kerana cabaran perniagaan emas itu.

Menurutnya, dia hanya melihat rakan menjual syawarma sebelum ditawarkan peralatan membuat syawarma kerana rakannya mahu menutup operasi.

"Saya bersetuju dan rakan berkenaan menurunkan ilmu pembuatan juadah itu sepenuhnya, dan kini saya tidak menoleh ke belakang lagi. Alhamdulillah, masyarakat negeri ini dapat menerima hidangan seperti itu," katanya.

Che Rosdi sedang memotong daging untuk menyiapkan hidangan syawarma yang dijualnya. FOTO NAZDY HARUN
Che Rosdi sedang memotong daging untuk menyiapkan hidangan syawarma yang dijualnya. FOTO NAZDY HARUN

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 4:46 PM