MAT Ali bersama isterinya, Rohana menyediakan roti canai di kedainya yang diusahakan sejak 1980. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
MAT Ali bersama isterinya, Rohana menyediakan roti canai di kedainya yang diusahakan sejak 1980. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

BIARPUN berusia 74 tahun, warga emas dari Kampung Kedai Tepoh, Kuala Nerus masih aktif menjalankan perniagaan roti canai di hadapan rumahnya yang diusahakan sejak 1980.

Uniknya perniagaan roti canai dijalankan Mat Ali bersama isterinya, Rohana Ismail, 62, kerana kedainya beroperasi seawal 4 pagi pada setiap hari.

Mat Ali berkata, dia berniaga bermula 4 pagi dan pada 8 pagi roti canainya sebanyak 10 hingga 12 kilogram (kg) habis terjual.

"Jika mahu makan roti canai di kedai saya perlu datang awal jika tidak roti canai habis.

"Paling lewat, 7 pagi mesti ada di kedai jika lewat dapat minum air sahaja.

"Kadang-kadang saya masih menebar roti canai di kedai bukan untuk disediakan kepada pelanggan, tetapi menyiapkan tempahan awal pelanggan dari jauh termasuk dari Kelantan," katanya.

MAT Ali menunjukkan roti canai yang dijualnya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
MAT Ali menunjukkan roti canai yang dijualnya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

Menurutnya, dia bekerja sebagai penebar roti canai sejak berusia belasan tahun di Kemaman.

Katanya, selepas 10 tahun berkerja dan menimba pengalaman, dia membuat keputusan membuka kedai roti canai di kampung kelahirannya.

"Pada mulanya, ramai memandang sebelah mata kerana saya menjual roti canai sahaja dan pada masa itu harga roti canai kosong 25 sen sebiji.

"Bagaimanapun berkat usaha, kesabaran serta sokongan isteri saya masih kekal berniaga sampai sekarang dengan pendapatan jauh lebih lumayan.

"Melalui hasil menjual roti canai, saya dan isteri dapat besarkan 11 anak yang kini berusia 43 hingga 21 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 4:36 PM