KAKITANGAN Habib menunjukkan antara koleksi bar emas yang dijual ketika Majlis Perpancaran Kempen Zakat Emas di Habib II Ampang Point, Ampang. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
KAKITANGAN Habib menunjukkan antara koleksi bar emas yang dijual ketika Majlis Perpancaran Kempen Zakat Emas di Habib II Ampang Point, Ampang. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Sri Ayu Kartika Amri


Ampang Jaya: Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan untuk mengutip sebanyak RM500,000 zakat emas melalui Kempen Zakat Emas yang dianjurkan bersama kerjasama strategik dengan syarikat barangan kemas tempatan, Habib.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, kutipan itu dijangka diperoleh melalui 1,000 pembayar zakat emas yang akan mengambil bahagian sepanjang Kempen Zakat Emas yang diadakan sebulan bermula 1 hingga 30 September 2022.

Katanya, kempen terbabit adalah antara inisiatif kerjasama pintar antara PPZ-MAIWP dan Habib yang diilhamkan daripada trend peningkatan kesedaran dan kepekaan masyarakat untuk membeli, melabur dan menyimpan emas.

"Habib adalah syarikat barangan kemas pertama yang dipilih PPZ-MAIWP bagi menjayakan kempen ini dan sepanjang kempen berlangsung PPZ-MAIWP turut mempromosikan barangan kemas jenama Habib dalam kalangan pembayar PPZ-MAIWP.

"PPZ-MAIWP memilih Habib sebagai rakan sinergi kerana yakin dengan jenama dan kredibilitinya sebagai salah satu syarikat barangan kemas di Malaysia. Habib juga syarikat barangan kemas pertama menjalinkan kerjasama strategik seumpama ini bersama PPZ-MAIWP.

"Di samping dapat meningkatkan kesedaran menunaikan zakat emas dalam kalangan masyarakat Islam, kerjasama ini juga dilihat sebagai satu titik mula kepada syarikat pengeluar barangan kemas di luar sana untuk turut sama menyebarluaskan dakwah zakat emas kepada pelanggan dalam masa dapat meningkatkan reputasi dan imej syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Kempen Zakat Emas di sini, hari ini.

Mengangkat tema 'Permata Firdausi', kempen ini menawarkan pelbagai hadiah istimewa berupa baucar tunai Habib bernilai sehingga RM10,000 dan 10 syiling wafer emas edisi terhad Habib untuk pembayar bertuah yang menunaikan zakat emas di PPZ-MAIWP sepanjang sebulan kempen berlangsung.

Beberapa siri Program Bual Bicara Santai bersama pelanggan Habib dan pembayar zakat PPZ-MAIWP turut diadakan bagi sesi perkongsian ilmu mengenai topik yang menarik.

Sebagai nilai tambah perkhidmatan, PPZ-MAIWP turut menyediakan konsultasi kepada pelanggan Habib dalam taksiran dan bayaran zakat, pakej wakalah, agihan zakat dan pada masa yang sama pembayar PPZ-MAIWP turut didedahkan dengan promosi semasa barangan kemas Habib.

PPZ-MAIWP turut menawarkan Skim Kafalah Muzakki (Khairat Kematian) kepada pelanggan Habib yang menunaikan zakat di PPZ-MAIWP.

Sekiranya berlaku kematian kepada pembayar, waris boleh menuntut wang khairat kematian sehingga RM3,000.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Jualan dan Pemasaran Habib, Zaruddin Mahmud berkata, permintaan terhadap barangan berasaskan emas terutamanya dalam bentuk jongkong dan barangan kemas semakin meningkat.

"Ia menjadi tanggungjawab kami untuk menguar-uarkan kewajipan umat Islam untuk berzakat ke atas barangan kemas emas dan memberi ilmu pengetahuan mengenai pembayaran zakat emas serta memberi kemudahan untuk pembayaran zakat emas," katanya.

Pelanggan boleh berkunjung ke bilik pameran Habib yang berdekatan untuk mendapatkan perkhidmatan penilaian zakat emas secara percuma.

Di samping itu, perkhidmatan lain seperti Skim Wakalah dan konsultasi berkenaan pembayaran zakat secara personal turut disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 6:38 PM