Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Individu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang terkesan dengan pandemik Covid-19 boleh memilih untuk membayar zakat fitrah pada kadar RM5.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Abdul Hakim Amir Osman berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara' Wilayah Persekutuan MAIWP menetapkan tiga kadar bayaran zakat fitrah tahun ini iaitu RM5, RM7 dan RM14.

"Bagi individu yang menggunakan beras jenis Basmathi atau wangi, mereka boleh memilih membayar zakat fitrah berjumlah RM14.

"Kalau makan beras biasa boleh pilih sama ada nak bayar RM5 atau RM7, tetapi biasanya untuk RM5 ini untuk mereka yang terkesan secara langsung semasa pandemik Covid-19," katanya dalam sidang media Kempen Ramadan Untuk Semua #SyukuriNikmatBersama di Dewan Al-Qardhawi, Wisma PPZ, Taman Shamelin Perkasa, di sini, hari ini.

Abdul Hakim berkata, pihaknya menyasarkan RM120 juta untuk kutipan zakat harta dan fitrah sepanjang Ramadan ini berbanding RM117 juta tahun lalu.

"Selain itu, kita berharap dapat mengutip zakat fitrah RM8 juta tahun ini iaitu RM6 juta menerusi atas talian manakala RM2 juta secara bersemuka.

"Peratusan pembayaran zakat juga mencatatkan peratusan kenaikan tujuh peratus walaupun negara dilanda pandemik.

"Setakat Januari hingga Mac tahun ini, kita berjaya mengutip zakat RM145.3 juta berbanding RM135.7 juta tahun sebelumnya," katanya.

Katanya, pihaknya juga berharap ramai pembayar zakat baharu tampil untuk sempena Ramadan tahun ini.

"Saya berdoa sempena bulan Ramadan ini meningkatkan lagi individu yang membayar zakat, inilah masanya kita jadi hero kepada asnaf yang akan didendangkan di akhirat nanti, di dunia macam tak nampak tetapi di akhirat Insya-Allah kita akan jadi hero di sisi Allah SWT.

"Alhamdulillah, walaupun pandemik melanda negara kami dapat meningkatkan 11 peratus kutipan zakat sebelum ini berbanding tahun lalu," katanya.

Katanya, selaras dengan moto PPZ-MAIWP iaitu 'Memudahkan Anda Berzakat', pelbagai saluran disediakan bagi membantu urusan pembayaran zakat.

ABDUL Hakim (dua dari kiri) bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan, (dua dari kanan), Pengurus Besar Teknologi Maklumat PPZ-MAIWP, Norman Yahya, (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan PPZ-MAIWP, Azhan Ismail, (kanan) memperkenalkan Kempen Ramadan Untuk Semua #SyukuriNikmatBersama pada Bulan Ramadan 1442H selepas sidang media di Wisma PPZ, Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur. FOTO Azhar Ramli
ABDUL Hakim (dua dari kiri) bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan, (dua dari kanan), Pengurus Besar Teknologi Maklumat PPZ-MAIWP, Norman Yahya, (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan PPZ-MAIWP, Azhan Ismail, (kanan) memperkenalkan Kempen Ramadan Untuk Semua #SyukuriNikmatBersama pada Bulan Ramadan 1442H selepas sidang media di Wisma PPZ, Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur. FOTO Azhar Ramli

"Pelbagai saluran kita sediakan supaya orang ramai dapat membayar zakat antaranya 10 kaunter PPZ-MAIWP dibuka setiap hari sepanjang Ramadan bermula 8.15 pagi hingga 4.30 petang, perkhidmatan kaunter zakat digital menerusi temujanji di www.zakat.com.my.

"Selain itu, kita juga menyediakan perkhidmatan pintu ke pintu khusus untuk mereka yang mahu layanan secara peribadi atau mempunyai kekangan masa untuk ke kaunter melalui khidmat Ride2U dan Kaunter Zakat Bergerak dan ditempah di talian 1300-88-5757.

"Malah, kita menyediakan saluran bayaran atas talian di portal rasmi kami iaitu fitrah.zakat.com.my (zakat fitrah) dan zakat.harta.my (zakat harta) atau menerusi 15 perbankan internet dan e-wallet antaranya Boost, Shopee dan GoPayz," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 2:13 PM