Mohd Roji Kawi

Kuching: Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dirancang ditempatkan di Bintulu perlu dibangunkan segera bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan dan pengoperasian di perairan Sarawak.

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali berkata, Sarawak kini satu-satunya wilayah di negara ini yang tidak mempunyai pangkalan TLDM sedangkan Sabah memiliki lima pangkalan dan Semenanjung juga lima.

Justeru, katanya, TLDM dan Kementerian Pertahanan kini dalam fasa terakhir untuk mendapatkan perolehan tanah di Samalaju, Bintulu.

"Apabila proses perolehan tanah selesai, kita berharap dapat memulakan projek pembinaan pangkalan MAWILLA 4 itu dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) sama ada pada Rolling Plan 3 atau 4.

"Jika pembinaan bermula dalam tempoh itu, kita berharap MAWILLA 4 dapat beroperasi pada pertengahan RMK-13," katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Eksesais OSTEX EAST 1/22, di sini, hari ini.

Turut hadir Panglima Armada Barat TLDM, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Mad Ajis.

DATUK Sabri Zali, mengadakan Sidang Media sempena Majlis Penutupan Latihan  OSTEX EAST 1/22 di Hotel Merdeka Palace Kuching. FOTO Nadim Bokhari
DATUK Sabri Zali, mengadakan Sidang Media sempena Majlis Penutupan Latihan OSTEX EAST 1/22 di Hotel Merdeka Palace Kuching. FOTO Nadim Bokhari

Mengulas lanjut, Sabri berkata, kewujudan pangkalan TLDM di Sarawak adalah perlu berikutan lokasi negeri ini yang strategik daripada segi kedudukan pemusatan operasi maritim di Laut China Selatan.

"Kehadiran TLDM di perairan Sarawak amat perlu dan harus diberi keutamaan berikutan kedudukan Sarawak khususnya Beting Patinggi Ali paling hampir dengan kawasan pertikaian di Laut China Selatan di mana pencerobohan kapal dari China kerap berlaku.

"Berikutan ketiadaan TLDM di Sarawak, Beting Patinggi Ali kini dikawal aset TLDM dari Kota Kinabalu dan Sandakan malah ada masanya aset dari Armada Barat turut membantu," katanya.

Menurutnya, TLDM mengerah sepenuhnya aset sedia ada untuk mengawal perairan negara menerusi Ops Satria bagi mengawal Beting Patinggi Ali di utara Sarawak, Ops Sinar Samudera di kawasan Gugusan Semarang Peninjau di barat laut Kota Kinabalu, Ops Pasir Utara dan Ops Pasir Selatan di perairan timur Sabah serta Ops Daulat Benua di perairan Tawau bersempadan Indonesia.

"Jadi tidak timbul isu kami tidak mengawal perairan di wilayah timur ini kerana aset kami berada di kawasan laut itu sepanjang masa," katanya.

Mengenai Eksesais OSTEX EAST 1/22, beliau berkata, walaupun latihan itu berjaya mencapai matlamatnya, beberapa kelemahan kecil yang dikesan perlu diperbaiki bagi memantapkan keupayaan TLDM mengawal perairan negara berbekalkan aset sedia ada.

"Eksesais ini turut membabitkan kapal selam KD Tun Rasak yang berjaya melaksanakan penembakan torpedo Black Shark.

"Pada masa sama, Skuadron 601 Unmmanned Aerial System (UAS) turut terbabit bagi menguji tahap kebolehkerjaan skuadron itu dengan kapal-kapal TLDM," katanya.

Menurutnya, sebanyak lapan kapal TLDM termasuk kapal misi pesisir (LMS) terbabit buat pertama kali dalam latihan berkenaan.

"Semua kapal LMS berjaya melaksanakan misi yang ditetapkan sesuai dengan konfigurasi kapal dan TLDM berharap perolehan kumpulan kedua LMS dapat direalisasikan oleh kerajaan.

"Kumpulan kedua LMS dirancang untuk dilengkapi dengan sistem persenjataan dan penderia bagi menangani peperangan dua dimensi iaitu permukaan dan udara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 4:27 PM