SYED Zahiruddin (tengah) menyaksikan acara menandatangani sijil serah terima tugas antara Abdul Rahman (kiri) dan Ganesh. FOTO Poliana Ronni Sidom
SYED Zahiruddin (tengah) menyaksikan acara menandatangani sijil serah terima tugas antara Abdul Rahman (kiri) dan Ganesh. FOTO Poliana Ronni Sidom
Poliana Ronnie Sidom


TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) merancang untuk mewujudkan pangkalan baharu bagi menempatkan Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) sekali gus memastikan keselamatan aset serta pelaksanaan operasi lebih berkesan.

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman berkata, lokasi MAWILLA 2 yang ketika ini beroperasi di pangkalan KD Sri Sandakan di Sandakan tidak lagi sesuai untuk menempatkan markas kerana kedudukannya yang terlalu dekat dengan bandar Sandakan dan semakin sibuk.

Sebelum ini MAWILLA 2 beroperasi di TLDM Sepanggar di Kota Kinabalu sebelum dipindahkan ke daerah Sandakan untuk meningkatkan keselamatan di perairan pantai timur Sabah.

Sejak pengwujudan Armada Timur berpusat di TLDM Sepanggar juga, katanya lebih banyak aset ditempatkan di Sabah dengan dua kapal sudah diterima tahun ini dan bakal disusuli dua lagi kapal ronda pada penghujung tahun atau awal tahun depan, serta sebuah lagi kapal yang kini dibina di China dan siap pada 2019.

“Kita perlu rancang dari sekarang untuk pindahkan markas dan ia sudah dipersetujui oleh Panglima Tentera Laut untuk dipindahkan ke Karamunting yang mana ada sebidang tanah sesuai untuk kita bina pangkalan baharu.

“Perkara ini akan dimaklumkan kepada Ketua Menteri Sabah yang baharu (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal). Kami rasa itu (perancangan bina pangkalan baharu) perlu agar markas dapat beroperasi dengan lebih berkesan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Panglima Wilayah Laut 2 (PANGWILLA 2) di Dewan Mohd Azim, Rumah Keluarga TLDM Taman Samudera di Sandakan, hari ini.

PANGWILLA 2 yang baharu, Laksamana Muda Datuk Ganesh Navaratnam mengambil alih tugas daripada Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob yang bakal menerajui Markas Pemerintahan Armada Timur sebagai Panglima Armada Timur.

Ganesh yang ditauliahkan perkhidmatan dalam TLDM bermula 21 November 1981 sebelum ini adalah Inspektor General TLDM di Markas Tentera Laut, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Syed Zahiruddin pula akan berpindah ke Markas Angkatan Bersama di Kuala Lumpur sebagai Panglima Angkatan Bersama.

Syed Zahiruddin berkata, sejak pemindahan MAWILLA 2 ke daerah ini pada Ogos tahun lalu, segala eksesais di laut, operasi serta rondaan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

“Kita dapat lihat sejak dipindahkan, tiada sebarang pencerobohan atau insiden yang berlaku di timur Sabah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 8:51 PM