FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dalam proses kajian bagi penerokaan sumber air bawah tanah di seluruh negeri ini yang boleh dijadikan sebagai bekalan alternatif pada masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air, Tenaga negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, kajian itu dibuat melalui Projek Pemetaan dan Pembangunan Sumber Air Bawah Tanah Negara (Kedah) 2021-2025 yang masih berjalan ketika ini.

"Kajian awal JMG mendapati Kedah berpotensi membangunkan sumber air bawah tanah sebagai bekalan alternatif berikutan negeri ini hanya baharu menggunakan satu peratus sumber berkenaan setakat ini.

"Sumber alternatif ini dilihat boleh diguna pakai bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air di kawasan bermasalah berikutan boleh dibangunkan secara skala besar atau kecil bergantung kepada kawasan berkenaan," katanya ketika sesi soal jawab Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Oii Tze Min (PH-Bakar Arang) yang bertanya mengenai kawasan yang sering mengalami masalah bekalan air terputus dan langkah penyelesaian jangka pendek serta panjang yang dilakukan kerajaan negeri.

Suraya (BN-Sungai Tiang) berkata, kajian sumber air bawah tanah dilakukan di seluruh negeri termasuk di Langkawi selain turut dibuat di kawasan pembangunan Bandar Getah Kedah (KRC), Taman Teknologi Tinggi Kulim dan Kedah Aerocity.

"Objektif kajian ini adalah bagi membangunkan peta hidrogeologi secara komprehensif untuk menilai dan menentukan potensi sumber air bawah tanah agar boleh diusahakan sebagai kawasan telaga medan.

"Ia juga bagi menyediakan inventori terkini dan kerangka pelan pembangunan sumber air bawah tanah bagi membantu perancangan pembangunan fizikal negara secara mampan," katanya.

Sebagai langkah jangka pendek mengatasi masalah bekalan air, katanya, JMG turut membantu membina telaga tiub di Kampung Kota Siputeh, Jerlun; Kampung Ulu Legong, Baling dan di Maahad Din, Sik.

Sementara itu, Suraya turut memaklumkan kira-kira 3,800 atau 0.59 peratus daripada 630,659 akaun di bawah Syarikat Air Darul Aman (SADA) didapati terjejas akibat masalah bekalan air berterusan.

"Antara kawasan yang sering berhadapan masalah gangguan bekalan terutama ketika musim kemarau adalah Merbok, Tanjung Dawai, Semeling dan Singkir selain kawasan sekitar Gurun berikutan masalah kekurangan bekalan di Loji Rawatan Air (LRA) Merbok, Gurun dan Tupah.

"Bagaimanapun jika musim kemarau berpanjangan, gangguan bekalan turut dialami di Ayer Hitam dan Kodiang di Kubang Pasu, Padang Terap, Pendang, Sik selain di Weng, Baling.

"Namun ketika ini keadaan dilihat kembali stabil dan tidak berpanjangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 2:26 PM