FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Beberapa kawasan di negeri berisiko mengalami gangguan bekalan air akibat kesan fenomena El Nino yang dijangka berterusan hingga suku kedua tahun ini.

Antara kawasan yang dijangka terjejas ialah Merbok, Semeling, Tikam Batu, Tanjung Dawai, Pengkalan Bujang, Bedong, Gurun dan Pulau Tuba di Langkawi.

Syarikat Air Darul Aman (Sada) dalam kenyataan hari ini, berkata pemantauan mendapati kapasiti pengeluaran air harian di beberapa loji rawatan air (LRA) menunjukkan penurunan berpunca cuaca kering dan panas akibat fenomena El Nino.

"Sada bersiap siaga menghadapi fenomena El Nino yang dijangka berterusan sehingga suku kedua tahun ini.

"Menurut Jabatan Meteorologi (MET Malaysia), fenomena ini sedang berlaku seluruh negara. Ketersediaan air mentah adalah isu kritikal terutama ketika musim kemarau dan jika keadaan ini berterusan, pengoperasian LRA secara keseluruhannya akan terkesan.

"Di Kedah, beberapa kawasan dijangka akan terkesan iaitu kawasan yang memperoleh bekalan air dari LRA jenis 'headworks' yang mana ia beroperasi secara separa rawatan dan bergantung kepada kualiti dan kuantiti air mentah semasa," katanya.

Menurutnya, empat daripada 35 LRA di negeri ini adalah LRA jenis 'headworks' yang menerima sumber bekalan air mentah daripada gunung atau bukit iaitu LRA Merbok, LRA Tupah, LRA Gurun dan LRA Pulau Tuba.

Katanya, Sada komited dalam mengatasi isu berkenaan dengan mengambil tindakan seperti pemantauan rapi dan berkala paras sungai di semua muka sauk selain Pelan Tindak Balas Kecemasan akan diaktifkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 1:35 PM