FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kemarau yang bakal melanda Kedah tidak lama lagi memaksa penduduk melakukan persediaan awal sebelum berlakunya gangguan bekalan air.

Antara kawasan dijangka mengalami gangguan itu adalah Merbok, Tanjung Dawai, Bedong, Semeling, Singkir dan Gurun.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Tenaga negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, Loji Rawatan Air (LRA) di Tupah, Merbok dan Gurun yang membekal air ke kawasan berkenaan dijangka terjejas disebabkan cuaca panas ketika ini.

"Masalah air dijangka berlaku di Kedah tengah seperti tahun kebiasaan. Kawasan ini mengharapkan air hujan dari Gunung Jerai dan kebolehan untuk proses air akan berkurangan daripada 11 juta liter (mld) kepada hanya sembilan mld ketika ini.

"Keadaan ini pasti akan mengakibatkan beberapa kawasan mengalami kekurangan air dan kerajaan negeri dijadual mengadakan mesyuarat khas bagi mengatasi masalah ini," katanya yang ditemui selepas penyerahan bantuan awal persekolahan secara pandu lalu kepada pelajar kurang kemampuan di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Suraya berkata, Syarikat Air Darul Aman (Sada) juga melakukan persediaan dengan menyediakan tangki besar di cawangan Sada Kuala Muda untuk melancarkan proses agihan air ke kawasan terjejas.

Selain itu katanya, penduduk dinasihat untuk menyediakan tangki air yang bersesuaian agar dapat digunakan sekiranya keadaan mendesak, selain menggunakan air secara berhemah.

Bagi tiga empangan utama iaitu Empangan Ahning, Empangan Pedu dan Empangan Muda, beliau berkata ia masih berada pada tahap selesa.

"Kita akan lihat nanti jika cuaca panas berterusan sehingga musim menanam padi Mac depan, masa itu kita akan agihkan air untuk kegunaan domestik dan pertanian yang perlu secara efisien," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 2:36 PM