Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Operasi mencari kedudukan jengkaut kejadian dua mangsa tertimbus dalam runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini, menunjukkan tanda positif selepas mengesan satu 'spot' besi kedalaman kira-kira 10 meter.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, pihaknya mendapat bantuan daripada pakar geofizik dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) bagi mengesan kedudukan jengkaut yang tertimbus itu.

Katanya, pakar geofizik UTP menggunakan kaedah '2D electrical resistivity & induced polarization survey' bagi mendapatkan titik kedudukan sebenar jengkaut yang tertimbus itu.

"Kaedah dan kajian berkenaan menemui satu titik besi bersaiz sama dengan jengkaut yang tertimbus itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azmi berkata, susulan itu gerak kerja pasukan ketika ini adalah memberi fokus kepada kerja menggali titik lokasi yang dikenal pasti.

"Kerja-kerja menggerudi dan menggali titik lokasi berkenaan dianggarkan sedalam sembilan ke 10 meter dari paras platform kedudukan jengkaut yang melakukan kerja-kerja menggali," katanya.

Beliau berkata, namun proses kerja akan memakan masa sedikit lama berikutan bongkah besar di titik lokasi yang dikenal pasti itu.

"Kerja menggali memakan masa agak lama kerana terpaksa berdepan batu besar dan agak banyak yang menimbusi titik lokasi berkenaan serta cuaca yang tidak menentu," katanya.

Katanya, sejak semalam pihak kuari membuat beberapa siri letupan kecil bagi memecahkan batu besar yang menghalang laluan ke titik lokasi itu.

Kelmarin, media melaporkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ke-12 memasuki fasa baharu apabila pasukan pencarian sudah mengenal pasti satu titik tepat jangkaan kedudukan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 5:47 PM