Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini yang masuk seminggu hari ini dilihat tipis bagi menemukan mangsa masih hidup.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Shahrizal Aris, berkata secara logik akal peluang mangsa hidup adalah tipis kerana sudah tertimbus selama seminggu.

"Susah hendak cakap namun kalau ikutkan logik memang susah kita hendak katakan mangsa masih hidup, tipis harapan itu," katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Shahrizal berkata, operasi esok dijangka mula menggunakan alat mengesan logam atau 'metal detector' kendalian khidmat luar bagi secara terperinci mengenalpasti lokasi sebenar bangkai jengkaut yang dipercayai tertimbus bersama mangsa.

"Kemungkinan esok kita akan mula menggunapakai khidmat kendalian syarikat swasta berkenaan. Ia memandangkan sampai sekarang kita masih tidak boleh kenal pasti secara terperinci lokasi mangsa dihempap bersama jentera dinaiki mereka.

"Ia disebabkan banyak batu di kawasan runtuhan itu bersaiz besar. Selain dari itu, tiada cara melainkan perlu pindahkan dan angkat sebahagian besar batuan yang runtuh itu maka baru boleh nampak (jentera).

"Dikhuatiri mungkin batu besar yang menghempap mangsa. Maka, selagi kita tidak memindahkan batuan besar itu, memang tidak akan berhasil menemukan mangsa," katanya.

Katanya lagi, pihaknya menolak kebarangkalian runtuhan susulan yang berlaku beberapa kali sepanjang operasi SAR adalah disebabkan oleh proses meletupkan batuan yang menghalang laluan jentera untuk naik ke lokasi batuan besar yang runtuh.

Beliau berkata, dalam sehari pasukan menyelamat menghadkan kepada hanya satu proses letupan dibuat dan setakat ini sebanyak empat proses letupan dibuat bagi melancarkan laluan naik ke tempat batu besar yang dipercayai menimbus mangsa.

"Kita tidak boleh katakan letupan itu yang menyebabkan runtuhan kecil susulan yang berlaku, memandangkan selepas letupan dibuat Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan melakukan pemeriksaan terlebih dahulu sebelum operasi diteruskan.

"Selepas letupan dibuat, barulah kerja membersihkan laluan naik itu boleh dilakukan. Justeru, runtuhan susulan kecil seperti yang berlaku pagi hari ini bukanlah disebabkan bahan letupan yang digunakan itu," katanya.

Pagi tadi, jurucakap JBPM Perak menerusi kenyataan berkata, kerja pengalihan batu bagi laluan ke lokasi mangsa dipercayai berada dilakukan oleh syarikat kuari terbabit menggunakan tiga jentera jengkaut.

Katanya, setiap satu dari jengkaut terbabit mempunyai peranan tersendiri iaitu bagi pengalihan batuan, kerja-kerja pemecahan bongkah batu besar, serta bagi proses penggerudian.

Katanya, setakat tengah hari tadi jarak terkini laluan ke lokasi terperinci mangsa dipercayai tertimbus adalah kira-kira 20 meter dengan kerja-kerja masih diteruskan sehingga ke titik lokasi berkenaan.

"Kerja-kerja berkenaan diteruskan sehingga ke titik lokasi mangsa, sebelum pasukan STORM (Pasukan Khas Operasi, Taktikal, dan Penyelamat Malaysia); SMART (Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia); dan Unit Anjing Pengesan K9 digerakkan bagi mengesan kedudukan sebenar mangsa," katanya.

Menurut jurucakap itu, kerja-kerja pengalihan pada hari ini yang bermula 8.30 pagi terpaksa dihentikan jam 11 pagi berikutan terdapat sedikit runtuhan kecil bongkah batu sebelum ia kembali disambung semula jam 12.30 tengh hari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 5:36 PM
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa runtuhan kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini yang masih tertimbus dan memasuki hari ketujuh, hari ini sekali lagi terpaksa dihentikan seketika berikutan terdapat runtuhan kecil. FOTO L.MANIMARAN
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa runtuhan kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini yang masih tertimbus dan memasuki hari ketujuh, hari ini sekali lagi terpaksa dihentikan seketika berikutan terdapat runtuhan kecil. FOTO L.MANIMARAN