Hadzlihady Hassan


RAHSIA arak beracun yang mengorbankan enam nyawa di Pulau Pinang terjawab apabila polis berjaya menyerbu sebuah rumah dua tingkat yang dijadikan tempat memproses arak palsu di Jalan Kajang, di Georgetown, semalam.

Dalam serbuan 4 petang itu, tujuh lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki tempatan yang semuanya berusia 20 hingga 40-an ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, sindiket memproses arak tiruan ini dikesan sudah aktif sejak empat tahun lalu.

“Kita percaya dengan serbuan ini, polis dapat menumpaskan sindiket terbabit yang menjadikan premis itu sebagai tempat memproses dan membungkus arak tiruan.

“Sindiket arak tiruan dan palsu ini dipercayai menjadi punca kepada beberapa kes kematian akibat keracunan metanol di negeri ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Tinjauan di premis terbabit mendapati ia dipenuhi dengan bungkusan plastik hitam mengandungi botol arak pelbagai jenama yang dipercayai untuk diedarkan.

Terdapat bahan kimia dan pelbagai ramuan yang diisi dalam tong plastik dan disusun di dapur dipercayai untuk diproses menjadi arak tiruan.

Selain itu, ada juga botol minuman keras lama untuk dikitar semula, pelekat label dan juga mesin penutup botol arak dalam premis terbabit.

Sementara itu, Che Zaimani berkata, pihaknya kini masih memburu seorang lelaki tempatan yang dipercayai dalang utama sindiket terbabit.

“Setakat ini, nilai rampasan dan juga waktu operasi semua pekerja terbabit memproses arak haram berkenaan masih dalam siasatan,” katanya.

Sebelum ini, enam lelaki maut akibat keracunan metanol di Pulau Pinang selepas meminum arak buatan sendiri.

Mangsa yang maut berusia 40-an terdiri daripada dua warga tempatan, tiga Myanmar dan seorang warga India.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 9:22 AM