Omar Ahmad


Johor Bahru: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 menumpaskan sindiket memproses dan menyimpan arak tiruan bernilai RM5.3 juta menerusi serbuan di sebuah gudang di Jalan Seri Wangi, Taman Perindustrian Desa Plentong, di sini, semalam.

Komander Briged Tengah PGA Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, dalam serbuan 4.45 petang itu, pihaknya merampas 62 tong biru berisi cecair pati arak dengan kapasiti 200 liter dan 56 kotak arak tiruan.

Katanya, ketika serbuan seorang lelaki berusia lingkungan 20 tahun yang bertindak sebagai pekerja premis ditahan.

"Lelaki yang ditangkap itu adalah pekerja di premis yang menguruskan penghantaran dan mengedar arak yang dibotolkan bagi pasaran tempatan sekitar Johor Bahru.

"Mereka membeli tong yang mengandungi pati cecair alkohol dan mencampurkan mengikut formula sendiri, kemudian dibotolkan dan ditampal label jenama serta setem duti kastam yang dipercayai palsu.

"Jumlah anggaran nilai arak arak yang dirampas RM3.747 juta, nilai cukai arak RM1.463 juta, nilai rampasan barangan RM117,000 dan jumlah keseluruhan nilai rampasan RM5.3 juta," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

SEBAHAGIAN daripada barang rampasan di sebuah gudang memproses arak tiruan. FOTO Omar Ahmad
SEBAHAGIAN daripada barang rampasan di sebuah gudang memproses arak tiruan. FOTO Omar Ahmad

Dalam serbuan itu, turut dirampas dua kereta Nissan Almera dan Cefiro, Forklift, Pam air, telefon bimbit dan pelekat kastam yang dipercayai palsu.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, arak tiruan itu hampir menyerupai arak asli dari segi fizikal botol dan label jenama arak yang digunakan.

"Bahan alkohol yang terdapat dalam arak ini kemungkinan besar tidak menepati standard sebenar yang ditetapkan pengilang.

"Status gudang dan dari mana pembelian pati cecair alkohol dalam tong biru masih dalam siasatan.

"Pelanggan rantaian yang mendapatkan bekalan arak dari sindiket ini mungkin tahu ia arak tiruan, namun sekiranya masuk ke premis perniagaan yang sah, pembotolan dan jenama sukar dibezakan oleh pengguna," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 75 Akta Eksais 1976 (kesalahan membuat, memproses arak dan memiliki peralatan membuat arak).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 4:43 PM