TONG berkapasiti 200 liter yang mengandungi arak tiruan yang sudah diadunkan. FOTO Ihsan KPDNHEP Selangor.
TONG berkapasiti 200 liter yang mengandungi arak tiruan yang sudah diadunkan. FOTO Ihsan KPDNHEP Selangor.
Norzamira Che Noh


SHAH ALAM: Risikan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor selama dua minggu membongkar kegiatan memproses arak tiruan di sebuah banglo di Shah Alam, semalam.

Turut dirampas 40 botol arak tiruan yang dianggarkan bernilai RM14,000, manakala dalangnya sedang dikesan.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan menerusi Ops Tiru itu dilakukan hasil daripada maklumat risikan Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP Shah Alam.

Berdasarkan risikan, pihaknya percaya premis berkenaan dijadikan tempat memproses dan membungkus arak tiruan yang disyaki untuk pasaran tempatan.

"Ketika serbuan dilakukan, pintu jeriji rumah berkenaan berkunci malah tinjauan awal turut mendapati tiada penghuni serta pergerakan kenderaan keluar masuk dikesan.

"Pasukan serbuan kemudian memecah mangga (pad lock) serta kunci pintu utama sebelum mendapati kotak pembungkusan serta botol yang disyaki digunakan untuk mengisi dan membungkus semula arak tiruan memenuhi premis seluas 278.7 meter persegi itu.

"Hasil pemeriksaan awal bersama wakil pemilik cap dagang juga menemui dua tong berkapasiti 200 liter yang mengandungi arak tiruan yang sudah siap diadun untuk diisikan ke dalam botol yang terdapat di premis berkenaan," katanya dalam kenyataan di Shah Alam.

Beliau berkata, pasukan serbuan juga menemui 40 botol arak tiruan yang sudah siap dibungkus serta kotak pembungkusan, pelekat label, penutup botol, pelekat cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan mesin untuk mengisi semula arak tiruan.

Katanya, kesemua barang-barang berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM RM15,275.

Muhamad Zikril Azan turut menegaskan, Bahagian Risikan sudah mengenal pasti suspek dan akan mengesan mereka dalam masa terdekat.

"Siasatan lanjut secara terperinci juga akan dibuat termasuk mengesan pemilik premis atau penyewa premis berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat mengikut seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 9:29 AM