Nurul Hidayah Bahaudin dan Anis Syuhada Mohd Rosli


Kuala Lumpur: Selepas lapan tahun aktif mencuri kenderaan, kumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Remy Sentosa tumpas selepas enam ahli geng berkenaan ditahan polis dalam beberapa siri serbuan Operasi Lejang di Selangor dan Perak pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menahan empat lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 38 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan itu.

"Dalam serbuan itu, polis merampas lapan kenderaan, dua telefon bimbit, dua pemutar skru, satu pahat, satu 'allen key' dan dua spanar pembuka tayar yang dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan.

"Semua kenderaan yang dirampas dianggarkan bernilai RM60,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Eng Lai berkata, kumpulan itu menyasarkan kenderaan buatan Malaysia seperti Proton Wira, Proton Iswara dan Proton Putra sejak aktif menjalankan kegiatan itu sejak 2014.

ENG Lai menunjukkan kereta curi yang dirampas. FOTO Genes Gulitah
ENG Lai menunjukkan kereta curi yang dirampas. FOTO Genes Gulitah

"Kumpulan ini yang didalangi seorang lelaki dikenali sebagai Remy Sentosa berusia 38 tahun dipercayai aktif melakukan kegiatan itu di sekitar Lembah Klang.

"Selepas mereka mengenal pasti kenderaan yang mahu dicuri, salah seorang suspek yang juga mekanik akan mengumpil pintu bahagian pemandu menggunakan pemutar skru sebelum membuka bonet hadapan untuk mematikan alat penggera.

"Kenderaan yang dicuri akan dijual kepada pelanggan tetap mereka pada harga serendah RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kepada model kenderaan itu," katanya.

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati salah seorang suspek mempunyai 33 rekod jenayah dan dadah termasuk curi kenderaan, manakala suspek utama mempunyai 24 rekod jenayah.

"Dengan penahanan semua suspek berkenaan, kami percaya berjaya menyelesaikan 13 kes curi kenderaan yang dilaporkan di ibu kota ini, Selangor, Melaka dan Perak.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 6:27 PM