Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket curi kenderaan selepas menahan dua lelaki dalam beberapa siri serbuan di sekitar daerah ini pada 13 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sindiket berkenaan aktif mencuri kenderaan di kawasan perindustrian dan perumahan.

"Menerusi Ops Lejang yang dilaksanakan, polis berjaya menahan dua lelaki berusia 35 dan 51 tahun. Susulan tangkapan, polis merampas beberapa kenderaan yang dicuri suspek.

"Antara kenderaan yang dirampas ialah empat lori, empat van, tiga kereta, dua set generator dan 49 unit skrin komputer," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Beh berkata, siasatan awal mendapati kenderaan yang dicuri akan diletakkan di kawasan terpencil sebelum dileraikan dan komponen dijual sebagai alat ganti.

"Hasil operasi ini, polis menumpaskan kumpulan curi kenderaan dikenali sebagai Elango Magna dan menyelesaikan 11 kes kecurian kenderaan di Kepong dan beberapa kawasan lain di sekitar Lembah Klang.

"Suspek kini direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

BEH menunjukkan kenderaan yang dirampas. FOTO Saifullizan Tamadi
BEH menunjukkan kenderaan yang dirampas. FOTO Saifullizan Tamadi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 3:07 PM