Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis menumpaskan dua kumpulan curi motosikal dikenali sebagai Geng Am Senu dan Geng Amat Katik menerusi Op Lejang, 25 dan 29 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam serbuan pertama pihaknya menahan dua lelaki di tempat letak kenderaan kondominium di daerah ini.

Katanya, suspek ditahan pada 7.40 pagi kerana cuba mencuri motosikal Yamaha Y15.

"Hasil siasatan dijalankan polis menahan empat lagi lelaki di sekitar Lembah Klang.

"Semua individu yang ditahan berusia 20 hingga 30 tahun mempunyai pelagai rekod kesalahan lampau. Kumpulan ini dikenalai sebagai Am Senu aktif mencuri motosikal sejak tahun lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Menurutnya, kumpulan ini mensasarkan motosikal di kawasan perumahan seperti kondominium dan pangsapuri.

"Susulan tangkapan ini, polis berjaya menumpaskan sindiket curi motosikal dan menyelesaikan enam kes kecurian motosikal di daerah Sentul," katanya.

ENG Lai (kanan) menunjukkan barang kes yang dirampas. FOTO Aswadi Alias
ENG Lai (kanan) menunjukkan barang kes yang dirampas. FOTO Aswadi Alias

Dalam serbuan berasingan, Eng Lai berkata, pihaknya menumpaskan satu lagi kumpulan curi motosikal dikenali sebagai kumpulan Amat Ketik yang mensasarkan motosikal jenis Yamaha sebagai sasaran.

"Polis menjalankan serbuan di beberapa lokasi sekitar ibu kota dan menahan sembilan lelaki berusia 26 hingga 45 tahun.

"Hasil penahanan itu polis merampas 10 motosikal, enam rangka motosikal dan satu enjin motosikal yang dianggarkan bernilai RM40,000 keseluruhannya,"katanya.

Katanya, hasil semakan rekod lampau semua suspek didapati mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah dan dadah.

"Modus operandi kumpulan ini adalah mencuri motosikal di kawasan perumahan awam dan pusat membeli-belah selepas mendapat permintaan daripada pembeli.

"Polis percaya dapat menyelesaikan 32 kes kecurian motosikal di kawasan Lembah Klang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 2:07 PM