KEBAKARAN di kilang besi berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
KEBAKARAN di kilang besi berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebuah kilang besi buruk di Jalan Chan Sow Lin, di sini, musnah sepenuhnya akibat kebakaran, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, jam 2.36 pagi.

"Seramai 57 anggota bersama 11 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Pudu, BBP Cheras, BBP Sentul dan BBP Sri Hartamas dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami mendapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah kilang besi buruk di lokasi berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 5.40 pagi.

"Kebakaran itu menyebabkan kilang berkenaan musnah sepenuhnya.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 9:49 AM