DATUK Azmi Abu Kassim menerima penyerahan kunci van jenazah oleh Pengasas Pertubuhan Amal Uncle Kentang, Kuan Chee Heng. FOTO ASWADI ALIAS.
DATUK Azmi Abu Kassim menerima penyerahan kunci van jenazah oleh Pengasas Pertubuhan Amal Uncle Kentang, Kuan Chee Heng. FOTO ASWADI ALIAS.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kertas siasatan berhubung kes bunuh dan bakar seorang wanita di sebuah bengkel pertanian kemahiran hidup sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras, di sini, Sabtu lalu, dijangka siap minggu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihak polis sedang dalam proses melengkapkan kertas siasatan kes terbabit.

"Setakat ini, kita sudah merakam keterangan lima individu dan mungkin akan ada individu lain akan dipanggil bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Kita akan berusaha melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin yang dijangka dalam minggu ini sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya,

Beliau berkata demikian pada sidang media dalam Program Penyerahan Van Jenazah Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia kepada Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Azmi berkata, setakat ini, hanya seorang suspek yang ditahan iaitu pengawal keselamatan sekolah itu berusia 34 tahun bagi membantu siasatan.

"Hasil semakan dilakukan mendapati suspek itu belum berkahwin dan mempunyai empat rekod jenayah termasuk kes cabul dan samun.

"Kita berharap siasatan berhubung kes ini dapat diselesaikan dengan cepat kerana kejadian itu sangat tragis dan tidak berperikemanusiaan," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang wanita berusia 25 tahun ditemui rentung dalam bengkel pertanian kemahiran hidup di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar dipetik berkata, cubaan merogol mangsa dipercayai menjadi motif wanita berkenaan yang juga penyelia kedai buku dibunuh sebelum mayatnya dibakar di lokasi kejadian.

Berita berkaitan:

  • Pengawal keselamatan disyaki bunuh, bakar wanita direman
  • Terlihat kepulan asap!
  • Wanita ditemukan rentung disyaki mangsa bunuh
  • Mayat rentung dalam bengkel kemahiran hidup sekolah
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 12:16 PM