MUHAMMAD Idzam ketika meninjau Program Derma Darah sempena Hari Polis ke-215. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
MUHAMMAD Idzam ketika meninjau Program Derma Darah sempena Hari Polis ke-215. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Perintah reman pengawal keselamatan yang ditahan berkaitan kes bunuh dan bakar wanita di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras, di sini, 12 Mac lalu, dilanjutkan enam hari lagi.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, sambungan reman ke atas suspek berusia 34 tahun itu bermula semalam hingga 25 Mac.

Katanya, ia bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kertas siasatan sudah 95 peratus selesai dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada hari ini atau esok untuk arahan pertuduhan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Derma Darah sempena Hari Polis ke-215 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Idzam berkata, pihaknya setakat ini sudah merakam keterangan 37 individu berkait kes itu dan masih menunggu laporan bedah siasat lengkap daripada Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Sebelum ini, media melaporkan penyelia kedai buku berusia 25 tahun ditemui rentung dalam bengkel pertanian kemahiran hidup di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras dengan mangsa dipercayai cuba dirogol.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 12:32 PM