KEBAKARAN yang memusnahkan dua blok rumah pekerja. FOTO Ihsan Bomba
KEBAKARAN yang memusnahkan dua blok rumah pekerja. FOTO Ihsan Bomba
Erika George


Bintulu: Seramai 35 pekerja syarikat pembinaan hilang tempat berteduh selepas dua blok kuarters didiami mereka musnah terbakar, tengah hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Samalaju Hashim Norshidi berkata, seramai lima anggota menggunakan sebuah jentera bergerak ke lokasi kebakaran sejurus menerima panggilan pada 12.42 tengah hari.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati api sedang marak memusnahkan dua blok kuarters pekerja terbabit.

Katanya, pihaknya memulakan pemadaman kebakaran menggunakan aliran bantu mula yang diperoleh dari jentera.

"Selepas hampir tiga jam memadam kebakaran, kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada 3.30 petang," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, kebakaran turut memusnahkan tujuh kereta yang diletakkan di hadapan kediaman itu dengan satu daripadanya musnah 100 peratus.

"Kebakaran tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

"Siasatan terperinci dijalankan forensik bomba bagi mengetahui punca berlakunya kebakaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 7:46 PM