Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Situasi banjir hampir pulih di Kelantan apabila hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) sahaja masih dibuka bagi menempatkan 711 mangsa sehingga 3 petang ini berbanding 790 petang semalam.

Dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Tanjong dan SK Gual Periok ditutup apabila 79 mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, pagi tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa banjir yang terjejas itu berada di SK Tok Deh di Pasir Mas.

Mereka terdiri daripada 238 lelaki dewasa, 227 wanita dewasa, 119 kanak-kanak lelaki, 120 kanak-kanak perempuan dan tujuh bayi.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah JKM Kelantan, Roshayati Omar berkata, jumlah mangsa banjir berkenaan masih berada di PPS berikutan beberapa kampung mengalami banjir 'termenung'.

Katanya, banjir berkenaan mungkin mengambil masa beberapa hari untuk pulih sebelum kesemua mangsa dibenarkan pulang.

"Pihak kita akan terus membuat pemantauan terutama memberi bekalan makanan yang sudah masak kepada mangsa yang berada di PPS.

"Makanan ini disediakan oleh katering yang dilantik dan mereka menyediakan makanan sebanyak empat kali sehari kepada kesemua mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 4:01 PM