Keadaan beberapa kawasan  di Kampung Kajang Sebidang, Palas Merah dan Teluk Jering yang dinaiki air menyebabkan banjir termenung. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Keadaan beberapa kawasan di Kampung Kajang Sebidang, Palas Merah dan Teluk Jering yang dinaiki air menyebabkan banjir termenung. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Keadaan cuaca yang semakin baik menyebabkan jumlah mangsa banjir di Kelantan sedikit menurun kepada 8,545 orang setakat jam 3 petang ini berbanding 9,063 orang pagi tadi.

Kesemua mangsa daripada 2,820 keluarga itu ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah iaitu Pasir Mas dan Tumpat.

Empat PPS masing-masing dua di Pasir Puteh dan dua di Tanah Merah ditutup sepenuhnya pagi tadi selepas kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang selepas banjir pulih.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di Pasir Mas masih lagi tinggi iaitu 7,925 orang ditempatkan di 20 PPS dan Tumpat seramai 620 orang di empat PPS.

Kesemua mereka membabitkan 2,443 lelaki dewasa, 2,816 wanita dewasa, 1,563 kanak-kanak lelaki, 1,512 kanak-kanak perempuan dan 211 bayi.

Sementara itu, portal eBanjir Kelantan merekodkan 13 jalan yang masih ditutup kepada semua kenderaan dan kenderaan ringan iaitu lapan di Pasir Mas, tiga di Kuala Krai dan masing-masing satu di Tumpat dan Machang.

Antara jalan yang ditutup Jalan Jirat, Jalan Masuk ke Kampung Baru Pahi dan Jalan Bukit Sireh- Kampung Bedal- Kuala Nal, Kuala Krai, manakala Jalan Machang- Pangkal Meleret- Wakaf Bata, di Machang dan Jalan Cabang Empat- Kampung Jambu- Meranti, Tumpat.

Selain itu, jalan di Pasir Mas yang ditutup termasuk Jalan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh, Jalan Sekolah Cina dan Jalan Tendong- Bunut Susu- Gelang Mas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 4:14 PM